Wanita Maut, Traktor Dipandu Terbabas Ke Dalam Parit

Diterbitkan: Selasa, 9 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang wanita maut selepas traktor yang dipandunya terbabas ke dalam parit di kawasan kebun sayur milik keluarganya di Kampung Sri Damai dekat Jaya Gading di sini.

Zubaidah Daud, 23, dari Kampung Sri Damai meninggal dunia di rumahnya yang terletak bersebelahan kebun sayur itu sebelum sempat dibawa ke hospital.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kejadian berlaku 9.30 pagi Isnin ketika mangsa memandu traktor untuk mengambil sayur-sayuran di kebunnya.

"Traktor yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit sedalam dua meter.

"Ekoran kejadian itu, mangsa yang cedera di bahagian dalaman dan dada itu dibawa balik ke rumah namun disahkan meninggal dunia sebelum sempat ke hospital," katanya di sini, Selasa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya merempuh sebuah van yang diletakkan di bahu jalan di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang.

Dalam kejadian kejadian 7 petang Isnin itu, Woi Chun Wah, 46, dari Air Putih di sini, mati di tempat kejadian.

"Dipercayai mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh van terbabit, mangsa mati akibat cedera parah di kepala dan dada," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan