Mayat Warga Asing Berbungkus Dengan Guni Ditemui

Diterbitkan: Rabu, 3 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis menemui mayat seorang lelaki warga asing di sebuah kolam berhampiran sebuah kilang memproses beras di Kampung Sungai Daun Tengah dekat Yan awal Rabu.

Mayat lelaki dipercayai warga Myanmar itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Ismail Abu berkata, mayat berusia 20-an itu lengkap berpakaian dan berbungkus dengan guni dari kepala hingga paras pinggang.

"Kita percaya mangsa sudah meninggal dunia beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayat...dan (polis) langsung tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Ismail berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mangsa mati akibat dibunuh atau sebaliknya kerana tidak menemui sebarang kesan lebam atau tikaman.

Katanya, pihaknya perlu menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di talian 04-4657489. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan