Ditahan Selepas Empat Jam Lakukan Samun

Diterbitkan: Khamis, 28 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Enam lelaki warganegara Indonesia berjaya ditahan dalam tempoh empat jam selepas melakukan samun di sebuah rumah milik seorang penoreh getah di Kampung Air Itam, Tanjung Bidara di sini pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata sebelum tangkapan, lima daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan parang masuk ke rumah tersebut manakala seorang lagi berjaga di luar rumah kira-kira 2 pagi.

"Kelima-lima suspek bertindak mengejutkan wanita berusia 54 tahun tersebut berserta seorang anak, menantu selain dua cucunya sebelum mengikat mereka dengan kain langsir," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000.

Katanya salah seorang mangsa berjaya menghubungi polis dan dua anggota polis kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian sebelum terlihat empat lelaki menaiki dua motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah mangsa lalu bertindak mengejar mereka.

Seorang dari suspek katanya, ditahan selepas motosikalnya terbabas namun tiga lagi lelaki berjaya melarikan diri.

Umar Ali Saifuddin berkata lima lagi suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Kuala Sungai Baru dalam tempoh hanya empat jam selepas kejadian samun berkenaan dan pihaknya berjaya menemui kembali barangan yang disamun. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan