Polis Rampas 17.24 Kg Heroin, 1.24 Kg Syabu Daripada Tiga Sindiket

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis merampas 17.24 kg heroin dan 1.24 kg syabu dianggarkan bernilai RM637,000 dalam tiga serbuan dan menahan tujuh warga asing termasuk seorang wanita dan seorang warga tempatan membabitkan tiga sindiket.

Kesemua suspek berumur antara 22 dan 46 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Sepang dan di George Town, Pulau Pinang pada minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata jabatan telah memantau pergerakan anggota tiga sindiket itu sejak awal tahun ini.

Suspek warga asing itu terdiri empat lelaki Nigeria, dua lelaki masing-masing warga Sierra Leone dan Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia, katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, Selasa.

"Dalam serbuan pertama pada Khamis lepas, seorang lelaki warga Pakistan yang cuba menyembunyikan 850 gram syabu di bawah pelapik kasutnya ditahan di KLIA semasa baru tiba dengan penerbangan Qatar Airways dari Doha, Qatar".

Noor Rashid berkata pada Ahad lepas, seorang wanita warga Indonesia ditahan di LCCT dan menggunakan modus operandi sama iaitu menyembunyikan 335 gram syabu di bawah pelapik kasutnya yang cuba diseludup ke Indonesia.

Hasil siasatan lanjut, dalang sindiket tersebut iaitu empat lelaki Nigeria dan seorang lelaki Sierra Leone ditangkap di sebuah rumah di Alam Damai, Cheras pada hari yang sama, katanya.

Katanya satu lagi kes melibatkan sindiket tempatan, apabila seorang warga tempatan ditahan dan sebanyak 16kg heroin dan 50 gram syabu bernilai RM5,371 dirampas dari dalam sebuah kereta jenis Honda Accord di Kampung Rawa, George Town pada Jumaat lepas.

Suspek dipercayai aktif mengedar heroin di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Sementara itu, Noor Rashid mendedahkan sejak awal tahun 2013 hingga kini, seramai 11 warga tempatan ditahan di luar negara iaitu sembilan di Thailand dan dua di Indonesia kerana menyeludup keluar dadah.

"Untuk tahun 2012 seramai 171 ditahan di luar negara di mana jumlah yang paling tinggi ialah di Singapura seramai 84 orang diikuti Thailand (39), Indonesia (28), China (8), Australia (7), Brunei (4) dan Denmark (1)," katanya.

Bagi tahun 2011 seramai 143 ditangkap iaitu di Indonesia (49), China (23), Singapura (21), Thailand (18), Brunei dan New Zealand masing-masing (11), Australia (6) serta Argentina, Belanda, Macau dan Pakistan masing-masing satu tangkapan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan