Polis Buru 17 Suspek Kes Tembak & Samun

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis memburu 17 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes menembak mati seorang lelaki di Jalan Ampang pada 21 Mac lepas, selain kes samun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu disyaki anggota kumpulan 'Morning Glory' yang bergiat aktif dalam beberapa kes samun di Brickfields dan Cheras sejak sekian lama.

"Polis percaya lelaki yang ditembak mati itu juga merupakan salah seorang anggota kumpulan berkenaan, dan mungkin ditembak oleh rakan kumpulan itu sendiri akibat pertikaian dan rasa tidak berpuas hati semasa pembahagian hasil rompakan," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Katanya, bagi kes samun, modus operandi mereka adalah memasuki rumah mewah antara 4 pagi hingga 7 pagi dengan memakai 'ski mask' dan sarung tangan sebelum menyamun dan melarikan kereta mewah mangsa.

Beliau berkata jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1 juta melibatkan 18 kes rompakan yang dilakukan oleh kumpulan itu.

"Mereka (ahli kumpulan) itu tinggal di hotel-hotel mewah di sekitar ibu kota sebelum dan selepas melakukan rompakan," katanya.

Ku berkata, dalam kejadian pada 21 Mac lalu, mangsa ditembak dari jarak dekat oleh beberapa lelaki dengan melepaskan enam das tembakan, di mana empat tembakan terkena pada bahagian kepala, leher dan dada.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun.

Ku meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi balai polis berdekatan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan