Empat Maut Nahas Bas Dan Kereta Di Jalan Lipis-Merapoh - Berita Jenayah | mStar

Empat Maut Nahas Bas Dan Kereta Di Jalan Lipis-Merapoh

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LIPIS: Empat maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Km 17, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini tengah malam Khamis.

Dalam kejadian 12.30 malam itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan bertembung dengan kereta jenis Honda City yang datang dari arah bertentangan.

Empat yang terbunuh merupakan penumpang kereta iaitu Nur Hamira Baharum, 24; Hasnah Che Hussin, 66; Nik Eryna Nik Ahmad, setahun; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Yanti, 20-an, manakala penumpang dan pemandu bas tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan memberitahu pemberita di sini hari ini, siasatan awal polis mendapati kereta terbabit hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

"Pemandu kereta terbabit (identiti belum dikenal pasti) dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan (identiti belum dikenal pasti) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh," katanya.

Beliau berkata semua yang mati dan cedera itu dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan