Kilang Cat Terbakar Di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai

Diterbitkan: Rabu, 13 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sebuah kilang cat di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, musnah 80 peratus dalam kebakaran pada Rabu.

Timbalan Pengarah Bomba Melaka, Sohaimi Mohamed berkata pihaknya menerima laporan kebakaran pada 3.51 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 3.54 petang.

Katanya sembilan jentera dari tujuh Balai Bomba negeri iaitu Tangga Batu, Kubu, Ayer Keroh, Masjid Tanah, Jasin Bestari, Merlimau dan Alor Gajah bersama 46 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran.

"Ketika jentera pertama tiba di tempat kejadian, api sedang marak berikutan terdapat bahan mudah terbakar yang boleh menyebabkan letupan kecil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata sebanyak 162 tong buih digunakan bagi mengawal kebakaran kerana terdapat 5,000 liter cecair bahan kimia yang mudah terbakar di dalam kilang tersebut.

Katanya kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kilang berhampiran dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan