12 Termasuk Dua Wanita Ditahan Kes Pergaduhan Dua Kumpulan Di Bangi - Berita Jenayah | mStar

12 Termasuk Dua Wanita Ditahan Kes Pergaduhan Dua Kumpulan Di Bangi

Diterbitkan: Isnin, 11 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Dua belas termasuk dua wanita berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan di sebuah restoran di Teras Jernang, Bangi, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, dua lelaki yang merupakan ahli perniagaan bersama isteri masing-masing dikatakan berbincang mengenai sebuah projek pembinaan sebelum berlaku pergaduhan akibat rasa tidak puas hati.

"Mereka kemudiannya memanggil kumpulan masing-masing seramai 15 orang sebelum tercetus pergaduhan menggunakan senjata tajam serta membaling kerusi dan meja makan di restoran itu.

"Dalam pergaduhan 15 minit itu, tiga lelaki cedera dan ada yang ditetak di kepala," katanya kepada pemberita selepas majlis serahan sumbangan untuk balu dan keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Ab Rashid berkata susulan itu, polis menahan 12 orang terbabit pada hari kejadian untuk membantu siasatan.

Suspek ditahan reman sehingga 12 Mac ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan bergaduh.

"Siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes pergaduhan. Dua kumpulan itu dipercayai dari Ampang dan Shah Alam," katanya.

Pada majlis itu, Ab Rashid menerima sumbangan berjumlah RM29,000 daripada beberapa individu dan syarikat swasta yang akan diserahkan kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia sebelum diagihkan kepada pihak berkenaan. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan