Lagi Laporan Polis Terhadap Kenyataan Tian Chua Berhubung Insiden Lahad Datu

Diterbitkan: Ahad, 10 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lagi bantahan dan laporan polis dibuat terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua berhubung kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara Umno.

Di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini, bekas anggota komando membuat laporan polis pada kira-kira 10.15 pagi terhadap pemimpin PKR itu.

Kira-kira 30 bekas anggota komando turut mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan ibu pejabat polis itu bagi mengutuk kenyataan pemimpin PKR itu yang menurut mereka amat menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih bertugas mahupun sudah bersara.

Wakil mereka, Mokhtar Yunus, 59, berkata Tian Chua tidak harus bermain politik dalam isu ini kerana lapan anggota polis yang terkorban dalam insiden itu bukan sesuatu perkara yang harus dipermainkan.

Seorang daripada bekas komando, Halim Mohamad Zain, 48 berkata laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tian Chua berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Di SEMPORNA, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap Tian Chua sebagai pengajaran kepada orang lain supaya jangan mengeluarkan kenyaan fitnah tanpa mengambil kira sensitiviti dan persaan ramai pihak yang terlibat dalam insiden itu.

"Saya berpandangan bahawa tindakan tegas perlu diambil kerana dia telah mengeluarkan kenyataan yang cukup berbahaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pengundi muda dan golongan muda anjuran Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Semporna.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata sekiranya tindakan tegas tidak diambil ada kemungkinan pemimpin PKR itu akan membuat fitnah lebih teruk yang dikhuatiri boleh mengancam ketenteraman awam.

Sementara itu, Shafie meminta semua pihak supaya tidak membuat tanggapan secara umum mengenai kaum Suluk kerana tidak semua etnik berkenaan jahat dan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang berlaku di Lahad Datu.

Di KULIM, MIC Negeri Kedah menyifatkan Tian Chua sebgai seorang pemimpin politik yang 'bermuka tembok' dan tidak bermaruah selain pengecut.

Pengerusi Perhubungan MIC Negeri Kedah, S. Ananthan berkata pada mulanya Anggota Parlimen Batu itu menuduh musibah yang berlaku di Lahad Datu merupakan satu konspirasi Umno yang mahu menakut-nakutkan rakyat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi apabila pelbagai pihak telah mengutuk dan melahirkan kebencian kepada dakwaannya itu, kini Tian Chua telah berdalih dengan menyebut bahawa lidah rasmi PKR itu yang menjadikannya mangsa sekali gus menafikan beliau membuat dakwaan itu," katanya selepas menyampaikan cek pinjaman Tabung Ekonomi Kebangsaan Nasional (Tekun) kepada peniaga kecil.

Ananthan berkata sikap muka tembok yang sering diamalkan pemimpin parti pembangkang itu jelas mempamerkan betapa tidak konsistennya pendirian mereka bila cuba mendapatkan keuntungkan politik daripada sesuatu isu.

Sementara itu, anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menyifatkan tuduhan yang mengatakan kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Sabah sebagai sandiwara politik sebagai bodoh dan tidak logik. "Ini tidak boleh diterima kerana ia merupakan soal kedaulatan dan keselamatan, bukan isu politik. "Kita merupakan negara berdaulat yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan kita wajib pertahankan kedaulatan kita, itu asasnya," katanya pada majlis Program Bersama Komuniti Peringkat Negeri Selangor anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Ginching, Salak Tinggi.

Di TAWAU, Wanita Umno Kalabakan dan Wanita Umno Tawau turut membuat laporan polis, meminta tindakan tegas diambil terhadap Tian Chua yang disifatkan tidak tahu menghargai jasa anggota keselamatan negara.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau oleh Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat dan Datuk Rosdianah Md Nor mewakili Wanita Umno Tawau.

"Tian Chua perlu memberi bukti sekiranya kejadian di Lahad Datu sebagai sandiwara Umno kepada pihak berkuasa. Kita amat kesal dan kecewa seorang pemimpin tertinggi pembangkang tidak tahu menghargai sumbangan, jasa dan pengorbanan anggota eselamatan dalam mempertahankan bumi Sabah dari anasir pengganas," kata Hamisa.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah pula memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengedarkan sebarang risalah yang boleh mencetuskan kerisauan orang awam.

Katanya polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan itu.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan tindakan Tian Chua cuba memperjelas kenyataannya yang mempolitikkan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebagai sudah terlambat dan hanya gimik politik.

Timbalan Presiden GPMS Ezaruddin Abd Rahman berkata tindakan itu adalah disebabkan desakan politik semata-mata selain gesaan orang ramai melalui pelbagai laporan polis yang dibuat di seluruh negara. "Mengapa Tian Chua membiarkan portal mereka (KeadilanDaily) berterusan menyebarkan berita mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai satu sandiwara Umno, sehinggalah baru beberapa hari ini membuat kenyataan bahawa itu satu kesilapan yang dibuat portal mereka. "Sepatutnya Tian Chua lebih bertanggungjawab atas tindakan beliau, portal itu langsung tidak diberi amaran apapun seolah-olah mereka sendiri merestui apa yang dilakukan, mungkin mereka ada pakatan atau sebagainya, kita tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program 'Saya Berjiwa Patriotik' di sini.

Ezaruddin berkata kelewatan Tian Chua membuat sidang akhbar itu menyebabkan media membuat spekulasi sehingga mengelirukan rakyat.

"GPMS mendesak agar kerajaan menyiasat laman web Keadilan.Daily yang disifatkan sebagai sengaja menyiarkan kenyataan untuk agenda tertentu," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan