Amah Indonesia Maut Terjun Bangunan, Tiga Cedera Cuba Lari Dari Agensi

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Empat pembantu rumah warga Indonesia nekad terjun dari sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat untuk melarikan diri bagi mengelak dihantar pulang ke negara asal menyebabkan seorang maut dan tiga lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian di Jalan 2, Taman Selasih kira-kira 6.30 pagi dua hari lepas, empat pembantu rumah Indonesia yang tinggal di sebuah premis dua tingkat yang dijadikan pejabat sebuah agensi pekerjaan asing dikatakan cuba melarikan diri daripada agensi pekerjaan itu.

Beliau berkata seorang pembantu rumah terbabit dikatakan masuk ke negara ini sejak Disember 2012 manakala tiga lagi sejak Januari lepas dan telah dihantar ke beberapa lokasi untuk bekerja tetapi dikatakan ditolak majikan mereka.

"Ekoran penolakan itu agensi pekerjaan berkenaan dalam proses mahu menghantar pulang pembantu-pembantu rumah terbabit dan berkemungkinan mereka enggan dihantar pulang dan bertindak melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya mereka menggunakan beberapa helai tuala yang diikat seperti tali dan cuba terjun dari bangunan dua tingkat itu apabila seorang daripada mereka terlepas pautan menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan teruk di bahagian pinggang dan dada.

Katanya seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Rohana, 44, dikatakan mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh dari bangunan tetapi mereka berempat berjalan kaki ke arah bangunan kedai kira-kira 300 meter dari lokasi bangunan pejabat agensi berkenaan dan Rohana dikatakan jatuh pengsan di situ.

"Seorang daripada mereka lalu bergegas ke Pejabat Balai Polis Insentif Bandar Selamat (IBS) yang berhampiran lalu mendapatkan bantuan anggota polis yang membawa mereka ke Hospital Kulim. Di sana Rohana disahkan meninggal dunia," katanya.

Ghuzlan berkata polis difahamkan mereka melarikan diri kerana tidak mahu dihantar pulang, sebaliknya mahu ke Johor untuk bertemu dengan suami seorang daripada pembantu rumah itu untuk terus tinggal di negara ini.

Beliau berkata melalui laporan bedah siasat, Rohana mengalami kecederaan teruk di bahagian pinggang dan dada yang menyebabkan kematiannya.

Tiga lagi pembantu rumah yang juga terjun dari bangunan itu menggunakan cara sama mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kulim.

Mereka dikenali sebagai Nuriani Lubis, 26, Miliawati, 42, dan Siti Sakmah, 26. Polis kini menunggu keputusan Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang untuk proses menghantar mereka pulang dalam tempoh terdekat.

Guzlan berkata polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai pemilik agensi pekerjaan berkenaan untuk membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan