Pelajar Maut Dipercayai Lumba Motor

Diterbitkan: Selasa, 5 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai berlumba, maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta di Km 30 Jalan Jerantut-Padang Piol dekat Sungai Retang, Jerantut.

Hakimi Jalani Mohamad, 17, dari Felda Sungai Retang, Jerantut mati semasa menerima rawatan di Hospital Jerantut.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 7.30 malam Isnin itu mangsa bersama beberapa rakannya menungang motosikal secara berkumpulan dari arah Sungai Retang menuju ke Padang Piol.

"Di tempat kejadian, dipercayai mangsa yang menunggang laju itu telah terlanggar bucu kanan belakang sebuah kereta jenis Proton Iswara, menyebabkannya tercampak ke atas jalan," katanya pada Selasa.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Dalam dalam satu lagi kemalangan pada Isnin, R. Subramaniam, 44, dari Kampung Lebu, Bentong, maut selepas kereta Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Km 9 Jalan Baru Bentong-Raub, dekat Bentong.

Kejadian berlaku pukul 8.50 pagi ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Bentong, kata Mohamed Fauzi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 30an masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan