Lelaki Mati Ditembak Enam Das Dari Jarak Dekat

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati selepas ditembak enam das dari jarak dekat oleh empat lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat berhadapan Tesco Rawang berdekatan Taman Setia, Rawang dekat sini, Jumaat.

Dalam kejadian itu, mangsa Leong Kim Yan, 54, mati di tempat kejadian selepas tembakan mengenai dada, bawah telinga dan bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian kira-kira 3.45 petang itu berlaku selepas empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha LC warna merah menghampiri kereta mangsa sebelum salah seorang daripada pembonceng melepaskan tembakan.

"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke pembahagi jalan dekat lampu isyarat di hadapan Tesco Rawang. Kesemua suspek yang memakai jaket dan helmet hitam itu kemudiannya melarikan diri ke arah Selayang.

"Mayat mangsa mengalami kecederaan kesan tembakan dua di bahagian dada, tiga di bahu kanan dan satu das di telinga kanan,” katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Siasatan awal di tempat kejadian menemui enam kelongsong peluru jenis 9mm Luger dalam jarak 50 meter dari lokasi kereta mangsa terbabas, katanya.

Polis masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan