Polis Kuching Tahan Lima Lelaki Curi Kabel

Diterbitkan: Rabu, 27 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Polis Kuching menahan lima lelaki yang dipercayai mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad di Batu 23, Jalan Kuching-Serian dekat sini, menerusi operasi bersepadu pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Rozlan Bek berkata, suspek yang berusia antara 27 dan 37 tahun itu diberkas di Taman Duranda Emas, Kampung Sinjok dekat sini.

Kehilangan kabel sepanjang 80 meter bernilai RM800 itu disedari seorang juruteknik Telekom ketika mahu membaiki kerosakan pada talian telefon di situ, 2 Januari lepas, katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Katanya, polis kemudian menubuhkan pasukan petugas khas meliputi anggota dan pegawai polis dari Balai Polis Siburan, Beratok dan Tapah bagi menjejaki suspek.

Menurutnya, pasukan itu berjaya mengesan suspek hasil risikan serta maklumat awam dan polis percaya suspek turut terlibat dalam kejadian pecah rumah berdasarkan penemuan pelbagai peralatan dalam sebuah kereta milik seorang suspek.

Sementara itu, Rozlan berkata, daerah Kuching mencatatkan penurunan kadar jenayah sebanyak 11.1 peratus kepada 543 kes tempoh dua bulan pertama tahun ini.

"Bagaimanapun kami mendapati indeks jenayah bagi kecurian kenderaan meningkat dan baru-baru ini melibatkan tempat seperti stesen minyak," katanya.

Menurutnya, untuk tempoh Januari dan Februari, sebanyak 24 kes kecurian kenderaan dilapor di Kuching iaitu meningkat 110 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan