Kanak-Kanak 12 Tahun Hilang Di Bukit Mertajam Sejak Ahad Lepas

Diterbitkan: Rabu, 27 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Daniel Haiqal Mohd Desa, 12, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah bapa saudaranya di Flat Desa Wawasan, di sini sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, di sini itu dilaporkan hilang antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada hari berkenaan.

Katanya bapa saudara Mohamad Daniel membuat laporan polis berhubung kehilangannya setelah kanak-kanak itu tidak pulang dan gagal dikesan.

"Kanak-kanak itu tinggal dengan keluarga adik perempuan ibunya sejak awal tahun dan keluar dari rumah dengan membawa beberapa helai pakaian serta duit tabung.

"Bapa saudara mangsa yang merupakan peniaga kantin memaklumkan ketika dia hendak keluar pada 8 pagi, kanak-kanak itu masih berada di rumah dan Mohamad Daniel didapati hilang selepas beliau pulang ke rumah sejam kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Azman berkata Mohamad Daniel berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang 120 meter dan berat 30 kilogram dan ketika keluar dia memakai seluar jeans warna biru dan t-shirt warna putih serta berselipar.

"Dia juga membawa beg galas warna hitam dan menaiki basikal warna biru muda. Kita telah edarkan gambar kanak-kanak berkenaan di lokasi strategik seperti masjid, kafe siber, hentian bas dan gerai-gerai makanan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kanak-kanak itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Ridzlan Fatim Roselan 017-2569037 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Pada perkembangan lain, Azman berkata polis mendapat beberapa maklumat terbaharu mengenai kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki India berusia enam tahun T. Sathiskumar, yang dilaporkan hilang sejak 8 Ogos tahun lepas di kawasan Jalan Permatang Pauh, di sini.

Katanya polis juga telah merekodkan keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan yakin dapat mengesan kanak-kanak terbabit tidak lama lagi.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Sathiskumar dilapor hilang pada 12.30 tengah hari selepas turun dari lori dipercayai untuk membeli makanan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan