Didakwa Samseng: Pegawai Penerangan Buat Laporan Polis

Diterbitkan: Jumaat, 22 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Pegawai Penerangan Daerah, Ahmad Nizam Abidin membuat laporan polis pada Jumaat berhubung laporan HarakahDaily yang mendakwa beliau samseng Umno yang menyerang Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), di sini baru-baru ini.

Ahmad Nizam, 43, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, menyatakan artikel itu mempunyai unsur fitnah dan mencemarkan imejnya sebagai pejawat awam.

Beliau terkejut dengan laporan itu yang mengaitkan beliau dengan insiden berkenaan walhal ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke Pekan dari Putrajaya.

"Ketika melayari Internet di pejabat semalam, saya terkejut apabila melihat gambar saya terpapar di HarakahDaily dalam artikel bertajuk 'Yang Serang Kami Keluar Dari Bangunan Umno Pekan'.

"Artikel itu mendakwa saya sebagai samseng Umno yang terlibat dalam insiden menyerang mahasiswa GM13 ketika mereka mengedarkan risalah di bandar Pekan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Ahmad Nizam yang kesal dengan tindakan HarakahDaily menyiarkan berita itu tanpa usul periksa, turut menggesa Pengerusi GM13, Syis Abd Kadir menarik balik tuduhan berkenaan.

"Saya mohon beliau (Syis) menarik balik tuduhan, serta memohon maaf secara terbuka dan jika gagal berbuat demikian, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang.

"Saya juga menuntut HarakahDaily memohon maaf secara terbuka kepada saya," katanya.

Pada 15 Februari lepas, GM13 yang dalam program lawatan dan gotong-royong bersama penduduk Pekan mendakwa mereka dikasari dan dimaki hamun sekumpulan samseng ketika program itu berlangsung. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan