Ketua Kes Samun di Manjung Ditembak Mati

Diterbitkan: Isnin, 18 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Sitiawan pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Perak, Senior Asisten Komisioner, Datuk A. Paramasivam berkata polis peronda melihat sebuah Naza Citra hitam dengan nombor plat, WKH 9262 pada pukul 4 pagi Ahad, dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Semakan mendapati nombor plat berkenaan adalah palsu dan ia sebenarnya didaftarkan atas sebuah Proton Waja.

"Polis kemudiannya mengekori kereta berkenaan dan cuba menghentikan mereka namun pemandunya memecut laju dan melanggar selekoh.

"Pemandunya kemudian keluar daripada kereta dan melepaskan tembakan ke arah polis, dan tembakan terkena cermin sisi sebelah pemandu kereta peronda polis," katanya pada sidang media pada Isnin.

Paramasivam berkata polis berbalas tembakan dan akhirnya suspek ditembak mati.

Suspek yang ditembak mati itu dikenalpasti sebagai Farid Abdul Hamid, 25, dari Ayer Tawar.

"Siasatan mendapati Farid merupakan suspek yang dikehendaki oleh polis berhubung insiden tembakan yang tidak disengajakan terhadap seorang mekanik di Taman Sejati, Setiawan pada 10 November tahun lalu.

"Dia juga dipercayai mempunyai kaitan dengan lapan kes rompakan, termasuk kes curi kereta mewah di Sitiawan dan Ayer Tawar dari 3 Februari 2011 hingga 28 Jun tahun lalu," katanya.

Paramasivam menambah Farid juga mempunyai beberapa rekod jenayah atas kesalahan memiliki dadah dan kes rompakan masing-masing pada 2006, 2009 dan 2009 dan 2011.

"Kereta yang dipandu suspek dilaporkan hilang sejak 7 Mei tahun lalu," katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 Smith & Wesson berisi tiga butir peluru, sebilah parang panjang, satu paket kecil lutsinar mengandungi dadah jenis syabu, lesen memandu dan beg silang milik suspek.

Paramasivam berkata lelaki itu mempunyai rekod empat kes jenayah lampau iaitu tiga kes melibatkan dadah dan satu kes bunuh. Beberapa anggota kumpulannya telah ditahan tahun lepas dan polis akan memburu saki baki anggota kumpulan itu, katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan