Pendaki Gunung Tahan Maut sesak Nafas

Diterbitkan: Khamis, 14 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pendaki dilaporkan mati malam tadi selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan dekat Kuala Lipis.

Mangsa menyertai pendakian bersama 23 pendaki lain sejak Isnin lalu.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan, mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal kira-kira 9.30 malam.

"Pihak bomba dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 8.45 pagi Khamis. Usaha untuk membawa turun mayat mangsa sedang diusahakan," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk berhubung dengan pasukan pendaki itu berikutan cuaca buruk. "Helikopter bomba gagal memasuki kawasan hutan berkenaan berikutan hujan lebat. Semua pendaki telah diarahkan turun mengikut jalan darat. "Hanya dua pendaki ketika ini berada di Kem Belumut bersama jenazah. Operasi menggunakan helikopter bagi membawa mayat mangsa keluar dari kawasan hutan mungkin hanya dapat disambung esok pagi," katanya. Sementara itu jurucakap polis Daerah Lipis berkata pihak polis juga sedang mendapatkan butiran lanjut berkenaan kumpulan pendaki itu serta identiti mangsa. "Pihak polis menerima maklumat tentang kejadian kira-kira 11 malam tadi (Khamis).

"Bagaimanapun operasi untuk membawa keluar semua pendaki itu mengalami kesukaran berikutan hujan lebat serta kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan," katanya. -- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan