Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Dalam Kebakaran Di Kedah

Diterbitkan: Selasa, 12 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua keluarga di kampung Seberang Terus dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal Selasa.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, kedua-dua rumah berkenaan musnah sepenuhnya manakala sebuah rumah lagi hanya terbakar di bahagian dapur.

"Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 5.20 pagi tadi dan dua jentera bersama 14 anggota serta dibantu dua jentera bomba sukarela berjaya mengawal api pada pukul 5.40 pagi. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 6.59 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Hasnah Hashim, 63, berkata beliau baharu selesai membuat kuih untuk dijual di pasar berhampiran kampung apabila ternampak rumah jirannya dijilat api.

"Saya kejutkan anak lelaki saya yang sedang tidur. Suami dan seorang lagi anak dah keluar pergi beli barang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian dekat sini, Selasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah melawat mangsa kebakaran dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan