Polis Selangor Lumpuh 21 Pusat Judi Haram Dengan Bantuan TNB

Diterbitkan: Jumaat, 8 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata bagi tempoh Disember 2012 hingga 27 Januari tahun ini, operasi 21 pusat perjudian haram di negeri ini berjaya dilumpuhkan menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, pusat perjudian haram seperti di kafe-kafe siber tidak dapat beroperasi selepas TNB memutuskan bekalan elektrik ke pusat berkenaan.

Usaha membanteras kegiatan perjudian haram amat penting kerana ia memusnahkan institusi keluarga dan menyumbang kepada peningkatan hasil wang haram menerusi sumber jenayah, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Taklimat TNB Selangor bersama Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Pengurus Besar TNB Selangor Datuk Mohd Azim Yusof berkata TNB perlu meningkatkan lagi kerjasama dengan polis bagi membendung gejala vandalisme dan kecurian bahan logam seperti pintu aluminium, kepingan tembaga, dawai dan kabel elektrik dari pencawang-pencawang TNB.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, TNB Selangor kerugian hampir RM2.5 juta ekoran daripada kecurian logam berkenaan yang sering menjadi sasaran pencuri terutamanya golongan penagih dadah.

Mohd Azim juga meminta orang ramai membantu pihaknya dalam membanteras gejala vandalisme itu kerana ia bukan sahaja melibatkan kerugian kepada syarikat tetapi juga gangguan bekalan elektrik di kawasan yang terbabit.

Beliau juga meminta orang ramai supaya berhati-hati kerana sejak kebelakangan ini ada individu menyamar kakitangan TNB untuk merompak atau memeras ugut pemilik rumah supaya memberikan sejumlah wang kononnya bagi mengelakkan bekalan elektrik ke rumah mereka dipotong.

Ketika ditanya persiapan TNB bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau berkata TNB mempunyai prosedur operasi standard seperti penyediaan janakuasa bergerak bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan