Polis Siasat Kaitan Tiga Individu Ditangkap Dengan Militan Antarabangsa - Berita Jenayah | mStar

Polis Siasat Kaitan Tiga Individu Ditangkap Dengan Militan Antarabangsa

Diterbitkan: Khamis, 7 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman sedang menyiasat sama ada tiga rakyat tempatan, yang ditahan di Taman Sutera, Kajang pada Khamis mempunyai kaitan dengan militan antarabangsa.

"Kita masih siasat dan perkara ini masih terlalu awal untuk dimaklumkan," kata Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.

Menurut sumber, Pasukan Petugas Khas Operasi/Anti Pengganas yang menyerbu sebuah kediaman di Kajang pada tengah hari telah menahan dua lelaki dan wanita serta menemui sejumlah pasport.

"Ketiga-tiga mereka dipercayai anggota terlatih kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dipercayai cuba merekrut dan melatih lebih 50 belia di negara jiran," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Khamis mengesahkan tangkapan tiga orang itu dalam satu kenyataan ringkas.

Maklumat awal mendapati, mereka yang dilatih terdiri daripada golongan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Difahamkan mereka menyertai latihan tersebut untuk melakukan misi yang disyaki dirancang, termasuk menjadi pengebom berani mati, oleh kumpulan pengganas antarabangsa, Al-Qaeda, dengan diserapkan beberapa fahaman termasuk membenci negara-negara Eropah, yang didakwa menindas orang Islam.

Menurut sumber itu, pelatih tersebut kemungkinan sedang menjalani latihan di beberapa lokasi yang sedang dikenal pasti di dalam negara.

"Kemungkinan ada lagi penahanan susulan melibatkan tenaga pengajar kumpulan militan termasuk warganegara asing dari Asia Barat, yang berada di negara ini," katanya.

Sumber itu berkata antara tiga yang ditahan adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang disyaki mempunyai hubungan dengan JI.

Jemaah Islamiyah dikatakan menggunakan kaedah kekerasan dengan menyasarkan kepentingan Barat di rantau ini dan berhasrat untuk mendirikan sebuah Negara Islam Raya di Nusantara, khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Ia dipercayai mempunyai hubungan kewangan antara Jamaah Islamiyah dengan kumpulan pengganas lain, seperti Abu Sayyaf dan Al-Qaeda.

Bernama sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan gerakan Al-Qaeda di negara ini berdasarkan pemantauan risikannya.

Bagaimanapun Mohamad Fuzi tidak menolak kemungkinan ada aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk menganggotai kumpulan Al-Qaeda di negara jiran. BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan