Berat Kanak-Kanak Mati Didera Turun Mendadak

Diterbitkan: Khamis, 7 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mendapati berat badan kanak-kanak yang dipercayai didera, Muhammad Irfan Raiyan Mohammad Shahnaz turun secara mendadak daripada 11 kg pada tahun lepas kepada 8 kg ketika mayatnya ditimbang setelah ditemui mati di kediamannya di Semenyih, 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata pakar nutrisi hospital menjelaskan berdasarkan rekod kesihatan Muhammad Irfan Raiyan, 3, beratnya turun secara mendadak sebanyak tiga kilogram yang menunjukkan mangsa bukan saja didera secara fizikal malah berkemungkinan tidak diberi makan.

"Berat yang sepatutnya bagi kanak-kanak seusianya adalah 15 kg," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dekat sini. Pada kejadian 31 Jan lalu, Muhammad Irfan Raiyan ditemui tidak bernyawa oleh ibunya ketika mahu mengejutkan anaknya itu yang tidur, untuk mandi.

Punca kematian kanak-kanak tersebut adalah akibat terkena benda keras dan pendarahan di kepala selain lebam di bahagian dada, tangan dan kesan rotan di kaki.

Pada 4 Februari lepas, bapa Muhammad Irfan Raiyan berusia 26 tahun dan isterinya seorang suri rumah berusia 25 tahun ditangkap di Perkarangan IPD Kajang dan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ab Rashid berkata ibu bapa mangsa berkemungkinan akan didakwa di mahkamah esok berikutan tempoh reman mereka tamat.

Timbalan pendakawa raya (DPP) akan membuat keputusan hari ini sama untuk mendakwa mereka atau dilepaskan dengan ikat jamin polis setelah mereka disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, katanya.

Sementara itu, pada 4 Feb lepas dalam tempoh tidak sampai 24 jam pihak polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang merupakan pemandu teksi berusia 31 tahun dan rakannya, 23, kerana disyaki terlibat dalam kes samun pelanggannya.

Ab Rashid berkata dalam kejadian samun awal pagi itu, seorang wanita warga asing, yang bekerja di sebuah kilang di sini, menaiki teksi tersebut dari Kajang menuju Semenyih dan disamun dengan sebilah pisau oleh pemandu teksi itu dan rakan sejenayahnya. Dua suspek itu melarikan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan raya, katanya.

"Setelah menerima laporan polis bertindak segera dan berjaya menahan dua suspek itu di hadapan sebuah hotel di Jalan Semenyih pada 12.30 pagi. Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan