Jenayah Maritim Menurun, 523 Kes Penyeludupan Ditumpaskan

Diterbitkan: Rabu, 6 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu agensi penguatkuasaan maritim termuda di dunia, berjaya menurunkan kira-kira 45 peratus kadar jenayah di perairan negara dalam tempoh lapan tahun penubuhannya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata selepas tahun pertama beroperasi, kadar jenayah maritim pada 2006 adalah sebanyak 48.06 peratus dan menurun setiap tahun hingga ke paras hanya tiga peratus pada 31 Dis 2012.

Beliau berkata pada 2007, kadar jenayah maritim adalah sebanyak 15.30 peratus, 9.42 peratus pada 2008, 7.63 peratus pada 2009, 6.83 peratus pada 2010 dan 4.22 peratus pada 2011.

"Peratus penurunan jenayah maritim ini disebabkan peningkatan penguatkuasaan melalui rondaan, pemeriksaan dan tangkapan yang dilakukan APMM," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Katanya antara jenayah di perairan yang sering dilakukan adalah penyeludupan masuk dan keluar barangan serta manusia, aktiviti pelanunan dan rompakan kapal dagang di Selat Melaka.

Barangan yang diseludup masuk ke negara ini pula termasuk dadah, senjata api, rokok, minuman keras, mercun, haiwan perlindungan dan kerang manakala barangan yang diseludup keluar adalah barangan kawalan bersubsidi seperti gula, minyak masak, petrol dan diesel.

Ahmad Puzi berkata APMM memandang serius ancaman kegiatan penyeludupan kerana ia amat merugikan negara dan rakyat dari segi ekonomi dan sosial.

"Kerajaan memperuntukkan bajet yang besar bagi subsidi petrol, diesel dan barangan kawalan lain untuk kesejahteraan rakyat negara ini tetapi apa yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat telah diambil kesempatan oleh penyeludup untuk mengaut keuntungan besar tanpa perlu bersusah payah," katanya.

Beliau berkata penyeludupan juga perlu dilihat dari sudut ancaman terhadap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat kerana sebagai contoh, senjata api yang diseludup digunakan penjenayah untuk melakukan pula aktiviti jenayah seperti rompakan, samun atau pembunuhan.

Penyeludupan dadah pula pastinya memberi kesan yang amat buruk terhadap sosial negara ini kerana ia merosakkan rakyat yang mudah dipengaruhi oleh puak penjenayah yang mengedar dan menjual dadah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, melalui peningkatan rondaan dan pengawasan yang dilakukan, APMM berjaya mematahkan 523 kes penyeludupan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM23.8 juta sejak 2006 hingga Januari 2013.

Dari segi pemeriksaan pula, Ahmad Puzi berkata pada 2006, sebanyak 360 pemeriksaan dilakukan terhadap vesel laut dan jumlah ini meningkat kepada 26,792 pemeriksaan pada 2012 iaitu peningkatan sebanyak 26,432 kes pemeriksaan.

Katanya jumlah tangkapan turut mencatatkan peningkatan pada lima tahun pertama APMM beroperasi dan ia mulai menurun pada 2011 dan 2012.

"Tangkapan terbanyak dilakukan pada 2010 iaitu sebanyak 1,336 berbanding 898 pada 2011 dan 813 tangkapan pada 2012. APMM melihat penurunan ini sebagai kesan positif terhadap pematuhan undang-undang di laut," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama banyak pihak terutamanya agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia yang sentiasa menjaga keamanan serta kesejahteraan rakyat negara ini. -- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan