Polis Tumpas Geng 'Heng Tai' Berkas Pasangan Kembar & Abang Sepupu

Diterbitkan: Isnin, 4 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Geng 'Heng Tai', yang dipercayai aktif mencuri kereta sejak enam bulan lepas, tumpas apabila polis memberkas dalangnya dan sepasang kembar di kawasan Projek Perumahan Rakyat Desa Petaling, di sini.

Polis turut merampas enam kereta curi, antaranya Proton Perdana, Proton Waja, Proton Iswara, Honda City dan Honda Jazz, yang dianggar bernilai RM250,000.

Kesemua kereta itu dilapor hilang di sekitar Lembah Klang, kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh. Beliau berkata pasangan kembar berusia 27 tahun dan dalang kumpulan itu berusia 35 tahun yang juga abang sepupu kembar terbabit ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta Proton Perdana pada pukul 9.30 malam, 22 Januari.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, kami menemui sebatang Allen key yang diubahsuai, tiga batang kikir, satu rangkai kunci dan penggera kereta, dua kunci kereta Toyota dan Nissan serta sebilah parang panjang," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Polis percaya dengan tangkapan itu, 17 kes curi kereta di sekitar Lembah Klang diselesaikan, katanya.

Sementara itu, polis sedang mengesan seorang lelaki Sukarman Kadir, 30, bagi membantu membantu siasatan 13 kes pecah rumah di sekitar Cheras sejak dua bulan lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan