KL112: Polis Belum Terima Maklum Balas 14 Saksi

Diterbitkan: Khamis, 31 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang maklum balas atau maklumat daripada orang ramai dan 14 saksi bagi membantu siasatan ekoran pelanggaran syarat oleh penganjur pada perhimpunan 12 Januari lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya akan memikirkan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap kesemua saksi sekiranya enggan memberi keterangan.

"Dalam sehari dua ini kita akan lihat, sekiranya mereka ini tidak tampil untuk membantu siasatan, kita akan fikirkan satu tindakan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama sukarelawan polis Kuala Lumpur di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras di sini Khamis.

Penganjur perhimpunan tersebut didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dalam perhimpunan tersebut.

Pada Rabu gambar 14 saksi itu telah diedarkan dan kesemua saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau 03-90516222 atau boleh tampil di balai polis berhampiran.

Orang ramai yang mengenali 14 saksi yang gambar mereka diedarkan melalui media dan laman Facebook juga boleh memberikan maklumat kepada polis atau memaklumkan ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, dari segi persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 Mohmad berkata kira-kira 8,000 anggotanya telah dilatih bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan dengan lancar.

Malah seramai 800 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) akan dipilih bagi membantu pihak polis ketika bertugas pada pilihan raya nanti.

"Kita tunggu masa sahaja sekarang ini, dari segi anggota dan peralatan semuanya sudah disediakan.

"Bagi anggota PVR, bersiap sedialah dari segi mental dan fizikal untuk menghadapinya nanti," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Mohmad berkata sebagai sebuah pasukan beruniform, aspek disiplin amat dititikberatkan dalam tugas seharian sebagai anggota PVR.

"Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan sepertimana termaktub dalam Akta Polis 1967 (Akta 344), PTKPN Bahagian A502 (Perintah-perintah dan peraturan-peraturan kepada pesukan sukarelawan polis) dan Peraturan Sukarelawan Polis PVR 1956)," katanya.

Justeru itu, tegas beliau nilai integriti perlu diterapkan dalam diri untuk membentuk keperibadian dan perwatakan modal insan yang jujur, amanah, telus dan ikhlas.

Katanya, pihaknya juga berharap dapat mencapai sasaran 1,500 pengambilan anggota sukarelawan polis pada tahun ini bagi membantu usaha mencegah jenayah.

Beliau berkata ketika ini seramai 1,172 individu telah dipilih untuk menganggotai pasukan sukarelawan itu melalui pengambilan khas pada tahun lalu.

"Polis Kuala Lumpur telah berjaya mengumpul 1,479 calon semasa sesi temu duga lalu dan memilih 1,172 daripada mereka.

"Bagaimanapun kita berharap dapat mencapai bilangan sehingga 1,500 anggota bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan