Polis Akan Selamatkan Seorang Lagi bayi Yang Dijual Sindiket

Diterbitkan: Ahad, 27 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Polis akan menyelamatkan seorang lagi bayi yang dijual oleh satu sindiket menjual bayi dan kanak-kanak, yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya akan mengambil bayi itu daripada keluarga yang membelinya menerusi sindiket tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan.

"Kita dah tuduh lima orang, dan kita akan tuduh lagi. Reman kesemua suspek akan berakhir pada 30 Jan ini. Kita akan majukan perkara ini kepada Ketua Unit Perundangan Pulau Pinang untuk mendapat arahan lanjut... untuk pertuduhan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad.

Khamis lepas, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu serta menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak.

Mereka yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, antaranya penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.

Abdul Rahim berkata pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menempatkan kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengulas kes tahanan lolos dalam kejadian 7 Jan lepas, Abdul Rahim berkata polis yakin dua yang masih bebas iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, berada di kawasan Operasi Kesan Gelugor.

"Saya yakin dan percaya mereka masih dalam kawasan operasi kita. Saya menyeru kepada kedua-dua suspek supaya menyerah diri secepat mungkin. Walau macam manapun, satu hari kita dapat tangkap mereka juga, di mana nak lari dekat Malaysia ni," katanya.

Dalam insiden itu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu, yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor pada hari kejadian manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini, tiga hari kemudian.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.

Jumaat lepas, tiga tahanan yang ditangkap semula iaitu Mohamad Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan termasuk mencederakan empat anggota polis pengiring. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan