Tiga Kali Gagal Larikan Kenderaan Curi, Suspek Tumpang Bas Ekspres Larikan Diri

Diterbitkan: Sabtu, 26 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah bas ekspres ke Kelantan selepas tiga kali gagal melarikan kenderaan yang dicurinya.

Dalam kejadian 3 petang Jumaat, suspek dipercayai meminta jasa baik seorang pemandu bas ekspres yang berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Merapoh untuk menumpangkannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintenden Abdul Razak Hassan berkata suspek yang dipercayai berusia 20-an itu bertindak meninggalkan sebuah pacuan empat roda di R&R tersebut selepas mengetahui dirinya diburu polis.

"Sebelum itu, pihak polis bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat roda milik seorang lelaki berusia 52 yang dicuri di depan rumah mangsa di Bandar Baharu Lipis pada kira-kira 1.30 petang," katanya.

Beliau berkata sebelum itu, suspek bertindak meninggalkan sebuah Proton Waja yang dipercayai dicuri pada 13 Jan lepas di Gohtong Jaya, Genting Highlands berikutan kereta tersebut kehabisan minyak.

"Sebelum itu, suspek juga cuba mencuri kereta Proton Perdana milik seorang pemilik kedai elektronik di Bandar Lipis.

"Bagaimanapun, pemilik kereta itu menyedari suspek sedang mengumpil pintu keretanya, dan selepas disergah, suspek bertindak melarikan diri dengan Proton Waja berkenaan," katanya.

Pemilik kedai itu kemudian melaporkan kejadian tersebut dan polis kemudian melancarkan gerakan memburu suspek. Suspek dipercayai turun di Tanah Merah, Kelantan.

"Pihak polis masih memburu suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan