Bangunan SK Kelangsat , Sipitang Musnah Dalam Kebakaran

Diterbitkan: Sabtu, 26 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan Kelangsat, di Jalan Tenom-Sipitang, kira-kira 55 kilometer dari pekan Sipitang dekat sini musnah dalam kebakaran tengah hari Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K.Ramin berkata kebakaran itu melibatkan bangunan yang menempatkan pejabat guru besar dan guru, pantri serta pusat sumber sekolah.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.23 pagi dan sepasukan anggota dengan dua jentera tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

"Ketika pasukan bomba tiba, kebakaran yang melibatkan sebuah bangunan sekolah telah terbakar 100 peratus," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohd Affendi berkata pihaknya turut mengalami kesukaran mendapat maklumat berhubung kejadian itu berikutan tiada liputan komunikasi di lokasi terbabit.

Katanya operasi memadam kebakaran tamat pada 6.22 petang ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan