Polis Melaka Tumpas Geng Ayie Aktif Pecah Rumah

Diterbitkan: Isnin, 21 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan 'Geng Ayie' yang aktif menyamun dan pecah rumah di sekitar Melaka dan Johor dengan penangkapan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan itu, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata suspek berusia antara 21 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Banda Hilir di sini dan merupakan saki-baki kumpulan selepas lima diberkas pada 16 Januari lalu.

Dalam tangkapan pada Sabtu itu polis menemui pelbagai barangan termasuk lima komputer riba dipercayai dicuri serta dadah jenis syabu di sebuah bilik di tingkat empat hotel berkenaan.

"Penahanan mereka juga membawa kepada penemuan dua kereta mewah jenis Toyota Camry dan Honda Civic yang dipercayai kereta curi di kawasan hotel tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Katanya siasatan awal mendapati tiga suspek terbabit positif dadah jenis syabu serta mempunyai 23 rekod jenayah membabitkan kegiatan curi, pecah rumah dan samun.

Katanya kumpulan itu dipercayai aktif melakukan curi dan pecah rumah sejak 2010 sebelum terlibat dalam jenayah samun pada 2011 melibatkan 28 kes di Melaka setakat ini.

"Kumpulan ini gagal dikesan sebelum ini kerana amat licik meloloskan diri dengan bersembunyi di hotel mewah bagi mengaburi kegiatan mereka dikesan polis," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu kebiasaannya melakukan jenayah pada waktu tengah malam atau awal pagi dengan menyasarkan rumah dan kenderaan mewah selain menggunakan topeng serta senjata seperti pisau dan parang.

Katanya polis sedang menyiasat lokasi barangan curi tersebut disembunyikan serta nilai kerugian. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan