Perintah Reman Tiga Tahanan Lolos Disambung Enam Hari Lagi

Diterbitkan: Ahad, 20 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

REMAN DISAMBUNG..Tiga tahanan yang ditahan semula selepas melarikan diri daripada pihak polis disambung reman enam hari lagi bermula hari ini. Ketiga-tiga suspek Mohamad Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26,ditahan semula enam hari selepas Polis melancarkan operasi besar-besaran ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang di Butterworth pada jam 9 pagi Isnin lalu. -Foto BERNAMA
REMAN DISAMBUNG..Tiga tahanan yang ditahan semula selepas melarikan diri daripada pihak polis disambung reman enam hari lagi bermula hari ini. Ketiga-tiga suspek Mohamad Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26,ditahan semula enam hari selepas Polis melancarkan operasi besar-besaran ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang di Butterworth pada jam 9 pagi Isnin lalu. -Foto BERNAMA

BUTTERWORTH: Perintah reman terhadap tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari polis dalam kejadian 7 Jan lepas, disambung enam hari lagi bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Abdul Wahab selepas pegawai penyiasat ASP Md Zailani Md Zain mengemukakan permohonan menyambung reman terhadap Mohd Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26.

"Perintah reman mereka tamat semalam dan kita mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan.

"Kertas siasatan kes berkenaan hampir siap dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada pendakwa raya," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan semula enam hari selepas polis melancarkan gerakan memburu ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 9 pagi 7 Januari lalu. Sementara itu, Abdul Rahim yang mengetuai pasukan khas Ops Kesan Gelugor itu berkata usaha memburu dua lagi tahanan yang masih lolos iaitu Hamzani Harun, 37 dan Hisham Abdul Rahman,39, masih diteruskan.

"Ops kita telah masuk hari ke 13 dan usaha memburu mereka giat dijalankan, berdasarkan maklumat yang diperoleh kita percaya mereka masih berada di Pulau Pinang," katanya. Abdul Rahim turut meminta kerjasama orang ramai terutama anggota keluarga dua tahanan terbabit agar menghubungi polis jika mendapat maklumat atau dihubungi mereka. Katanya polis yakin dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian itu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan