Bayi Enam Bulan Yang Dibawa Membonceng Motosikal Maut

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang bayi berusia enam bulan dan ibu saudaranya maut apabila membonceng motosikal yang merempuh sebuah lori tangki di Taman Pinggiran Senawang dekat sini, Khamis.

Bayi tersebut Nur Harryna Balqis Abdullah disahkan meninggal di sebuah Klinik Kesihatan di Senawang sementara ibu saudaranya Nor Shamsilayanti Hudsaini, 24, mati di tempat kemalangan dalam kejadian 10.40 pagi.

Jurucakap polis berkata motosikal itu yang dibawa adik kepada Nor Shamsilayanti iaitu Nur Baiyah, 21, sedang dalam perjalanan ke Rantau apabila bergesel dengan lori yang membawa minyak sawit, yang secara tiba-tiba dikatakan keluar dari satu simpang di situ.

Kedua-dua mangsa dilapor tercampak ke atas jalan sementara Nur Baiyah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu lori terbabit dikatakan telah melarikan diri dari tempat kemalangan sebelum menyerah diri di balai polis berhampiran.

Seorang pemandu kereta Mohd Rozaini Mohd Ali, 27, berkata beliau membawa bayi yang didapati tidak bernyawa itu yang sedang dipangku orang ramai, ke klinik dan disahkan memang telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamarudin mengesahkan kejadian itu dan berkata ia sedang disiasat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan