Bot Karam: 41 PATI Selamat, 7 Hilang

Diterbitkan: Isnin, 14 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Empat puluh satu warga Indonesia dipercayai pendatang tanpa izin selamat manakala tujuh termasuk tekong dan kru masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, di sini Isnin.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata kesemua mereka terdiri daripada 35 lelaki dan empat wanita berumur 20 hingga 40 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berumur setahun dan dua tahun.

"Salah seorang daripada wanita itu sedang mengandung lapan bulan dan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 300 meter dari pantai Teluk Ramunia ketika bot pancung tersebut baru memulakan perjalanan ke Batam, Indonesia," katanya kepada pemberita, di Jeti Marina Tanjung Pengelih, di sini.

Mustafa Kamal berkata seorang wanita mangsa bot karam terbabit sempat menghubungi Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999, pada 5.20 pagi sebelum pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kemudian berjaya menyelamatkan 18 mangsa termasuk dua kanak-kanak, pasukan polis marin menyelamatkan 19 mangsa manakala empat lagi mangsa ditemui pasukan polis selepas mereka terdampar di tepi pantai.

Katanya hasil siasatan dipercayai kejadian berlaku disebabkan keadaan laut yang bergelora, muatan bot berlebihan selain kesemua mangsa juga tidak memakai jaket keselamatan.

"Mungkin juga bot fiber yang dinaiki kebanyakan mangsa yang berasal dari Lombok, Indonesia itu bocor, bagaimanapun, kita akan menyiasat secara terperinci selepas bot berkenaan dibawa ke tepi pantai," katanya.

Mustafa Kamal berkata kesemua mangsa yang diselamatkan APMM dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih manakala mangsa yang diselamatkan polis marin dibawa ke jeti nelayan Sungai Rengit, sebelum kesemua mereka dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata sehubungan itu, gerakan mencari dan menyelamat tujuh lagi mangsa yang hilang sedang diteruskan anggota APMM, polis marin dan bomba di sekitar kawasan kejadian.

Sementara itu, wanita yang menghubungi MERS 999 itu, yang hanya dikenali sebagai Silahwati, 30, ketika ditemui berkata dia sempat melihat bot itu dimasuki air sebelum terbalik.

Silahwati yang bekerja sebagai tukang cuci di Johor Baharu berkata kebanyakan mangsa berpaut pada bot sebelum dia menghubungi MERS 999 menggunakan telefon bimbit salah seorang mangsa lain.

"Keadaan ketika itu sangat gelap dan ombak yang tinggi. Syukur dalam keadaan kelam kabut itu saya dan mangsa lain sempat berpaut pada bot," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan