Polis P.Pinang Ubah Lokasi Operasi Buru Tahanan

Diterbitkan: Sabtu, 12 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TASEK GELUGOR: Polis Pulau Pinang pada Sabtu mengubah kawasan operasi mengesan lima tahanan yang masih bebas ke kawasan Permatang Pauh, dekat sini kerana dipercayai bersembunyi di situ.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, selepas menerima maklumat tahanan terbabit berada di kawasan Permatang Pauh, pihaknya menghantar lebih ramai anggota polis ke kawasan itu bagi menjalankan rondaan dan Operasi Kesan Gelugor di situ.

"Malam tadi kita dapat beberapa maklumat berhubung tahanan terbabit di Permatang Pauh dan berikutan itu sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kubang Ulu pada 6.15 pagi ini.

"Bagaimanapun kita gagal kerana ketika diserbu hanya terdapat pekerja asing di rumah berkenaan dan saya percaya mereka (tahanan) telah melarikan diri.

"Maklumat yang polis terima tahanan terbabit bersembunyi di sekitar kawasan rumah sewa itu," katanya pada pemberita di sini Sabtu.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Abdul Rahim berkata, polis pada Sabtu turut mengedarkan 2,000 keping salinan gambar lima tahanan yang masih diburu itu di sekitar Tasek Gelugor dan Permatang Pauh bagi memudahkan orang ramai membantu polis mengesan mereka.

"Kita edarkan salinan gambar itu di lapan sekatan polis yang diadakan, kedai makanan dan juga kepada orang ramai di sekitar kawasan operasi.

"Dalam salinan berkenaan kita turut sertakan nombor telefon polis untuk orang awam hubungi kerana polis memang memerlukan maklumat daripada masyarakat.

"Salinan itu akan ditambah dari semasa ke semasa," katanya.

Dua tahanan yang ditembak mati pada Khamis ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.

Mereka yang masih diburu ialah Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, Mohamad Farid Akhtar, 24, Hamzani Harun, 37, Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dan Hisham Abdul Rahman, 39.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan seorang lelaki malam Jumaat kerana dipercayai memberi bantuan makanan kepada lima tahanan yang lolos itu, Abdul Rahim berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta di perkarangan Masjid Al-Falah, di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir dekat sini pada 10 malam.

"Dia datang bersama rakannya untuk berjumpa dengan salah seorang tahanan. Tetapi rakan lelaki itu berjaya melarikan diri di kawasan ladang sawit yang terdapat berhampiran kawasan itu.

"Ketika ditahan polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu dan berdasarkan siasatan, suspek memang dikehendaki polis berkaitan kes ugutan jenayah dan melakukan khianat," katanya.

Dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan