Tiga Cedera, Tujuh Ditahan Dalam Pergaduhan Dua Kumpulan

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tiga lelaki cedera dan tujuh yang lain ditahan polis apabila dua kumpulan bergaduh dipercayai berebut kawasan untuk menjual besi buruk di Jalan Bukit Kapar, Klang, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian 8.30 pagi itu, tiga lelaki sedang minum di sebuah gerai todi haram di kawasan berkenaan sebelum diserang oleh sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam dan pistol.

Beliau berkata kumpulan lelaki itu datang ke kedai itu, menaiki motosikal dan kereta, menyerang ketiga-tiga mereka, berumur antara 29 dan 36 tahun, menyebabkan seorang daripada mangsa melecur pada bahagian kaki kanan akibat terkena tembakan dan dua lagi cedera pada pergelangan tangan kiri serta jari kanan selepas terkena senjata tajam.

"Siasatan awal mendapati dua das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu manakala beberapa senjata tajam digunakan untuk menyerang mangsa," katanya kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Rabu.

Susulan kejadian itu, Mohd Adnan berkata antara pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi hari yang sama polis menahan tujuh lelaki berumur antara 23 dan 26 tahun secara berasingan di kawasan Bukit Kapar dekat sini bagi membantu siasatan. Beliau berkata kesemua lelaki terbabit bagaimanapun dibebaskan selepas polis mengambil keterangan mereka.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan bergaduh, serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kita telahpun mengenalpasti beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan kes ini dan gambar mereka akan diedarkan dalam satu sidang media esok," katanya.

Sementara itu, Mohd Adnan berkata polis menahan seorang lelaki, 51, yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat DSP dari Bukit Aman, setelah menawarkan rasuah RM200 petang semalam kepada seorang pegawai penyiasat.

Pegawai penyiasat berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu sedang mengendalikan kes samun dan rogol membabitkan dua suspek di Sungei Way, Petaling Jaya pada 23 Disember lepas.

Mohd Adnan berkata siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod di bawah Seksyen 107 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menyamar serta kes itu kini dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan