Anggota PPS Pukul Wartawan Sedia Mohon Maaf

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang didakwa memukul seorang wartawan dalam kejadian di pangsapuri di Jalan Perak di sini 30 Disember lepas, pada Khamis menyatakan kesediaan memohon maaf kepada mangsa.

Lim Ah Chai, 52, berkata beliau berharap dapat bertemu secara bersemuka dengan wartawan akhbar Guan Ming Daily, Ang Kean Siang bagi tujuan itu.

Katanya beliau juga telah hadir memberi keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Rabu.

Lim ditemui pemberita pada sidang media yang diadakan Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo di sini.

Sementara itu, Jagdeep berkata beliau akan berusaha mengatur pertemuan kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota PPS agar bertindak secara rasional dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Ang, 32, cedera dipukul empat lelaki ketika membuat liputan mengenai kejadian seorang wanita ditemui mati di pangsapuri berkenaan.

Ang juga mendakwa kumpulan lelaki itu merosakkan kameranya kerana tidak berpuas hati beliau mengambil gambar wanita yang mati berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan