Anak saudara tergamam, pakcik balik rumah selepas sudah 2 bulan meninggal dunia - Berita Dunia | mStar

Anak saudara tergamam, pakcik balik rumah selepas sudah 2 bulan meninggal dunia

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2018 5:34 PM

Mayat yang disahkan sebagai Supugaliev dikebumikan di daerah Zhuldyz, Atyrau, Kazakhstan. -fotoEast2West

(Ubah saiz teks)

SEORANG lelaki berusia 63 tahun nyaris membuatkan ahli keluarganya sakit jantung apabila dia pulang ke rumah, dua bulan selepas mayatnya dikebumikan.

Pada 9 Julai, keluarga Aigalu Supugaliev membuat laporan mengenai kehilangannya di kampungnya di Tomarly, Kazakhstan.

Mereka tidak tahu bahawa lelaki yang tidak berkahwin itu telah ditawarkan pekerjaan selama empat bulan di sebuah ladang terpencil dan Supugaliev juga tidak memaklumkan kepada keluarganya tentang tawaran itu.

Apabila mayat yang sudah reput ditemui berdekatan rumahnya, keluarga Supugaliev tidak dapat mengecamnya melalui ciri-ciri fizikal.

Ujian DNA dilakukan dan keputusan menunjukkan terdapat kebarangkalian 99.92 peratus mayat yang ditemui adalah mayat Supugaliev dan sijil kematiannya dikeluarkan.

Sijil kematian telah dikeluarkan.

Keluarganya terus mengadakan majlis pengebumian untuk Supugaliev.

Mayat yang diyakini sepenuhnya mayat Supugaliev dikebumikan di daerah Zhuldyz, Atyrau, mengikut upacara Islam, tetapi dua bulan kemudian, Supugaliev muncul di rumah keluarganya.

"Apabila Aigali pulang dalam keadaan masih hidup dan sihat, anak perempuan saya, Saule yang melihat kepulangan pakciknya, hampir sakit jantung," kata abang kepada Supugaliev, Esengali kepada wartawan tempatan.

"Analisis DNA telah mengesahkan ia adalah adik saya dan kami percaya keputusannya, seterusnya menjalankan upacara pengebumian dan majlis peringatan. Saya menghabiskan banyak wang untuk upacara tersebut.

"Tetapi ini bukan soal wang. Siapa yang telah kami kebumikan? Mungkin keluarganya sedang mencari orang itu."

Supugaliev memegang plak yang ditempah keluarganya untuk diletakkan pada batu nisan di kuburnya.

Keluarga Supugaliev mengumumkan bahawa mereka sangat gembira kerana dia masih hidup dan sihat, tetapi mereka tidak melupakan ujian DNA yang telah dibuat dan merancang untuk menyaman pakar-pakar yang telah menjalankan ujian tersebut.

Bagaimanapun, Akmaral Zhubatyrova, yang melakukan ujian DNA mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh bergantung kepada 99.92 peratus kemungkinan untuk mengesahkan kematian seseorang.

"Mustahil untuk menyatakan dengan tegas bahawa ini adalah mayat seseorang, hanya bergantung kepada keputusan pemeriksaan DNA," kata Zhubatyrova kepada pihak media.

"Kita tidak sepatutnya melupakan baki 0.08 peratus itu."

Tidak jelas betapa sukar untuk Supugaliev kembali semula dengan kehidupan, undang-undang dan sebagainya, tetapi pada masa yang sama dia gembira mengambil gambar dengan plak yang ditempah keluarganya untuk diletakkan pada batu nisannya. -TheSun

Tags / Kata Kunci: ujian DNA , meninggal dunia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan