Bekas tentera ikat, sewa enam anak kepada kumpulan penjenayah - Berita Dunia | mStar

Bekas tentera ikat, sewa enam anak kepada kumpulan penjenayah

Diterbitkan: Rabu, 10 Oktober 2018 3:52 PM

(Ubah saiz teks)

SEORANG bekas tentera yang menyewakan enam anaknya kepada kumpulan jenayah dan sentiasa memukul mereka telah ditahan pihak berkuasa.

Mahkamah di daerah Shangcheng, kawasan luar bandar wilayah Henan, China memutuskan bahawa Liu Mingju tidak layak membesarkan anak-anaknya kerana isterinya, Li Shaoju, mengalami kecacatan mental.

Petani itu hanya menghabiskan masa selama 10 hari dalam tahanan, tetapi empat anak lelaki dan dua anak perempuannya yang berusia antara satu dan 15 tahun kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa hal ehwal daerah, lapor Beijing Youth Daily.

Dalam siaran temu bual di pearvideo.com, Mingju mengakui kegagalannya, tetapi memberitahu kadangkala dia mengikat anak-anak lelakinya yang masih kecil di katil demi kebaikan.

Dia juga berkata dia dan isterinya mempunyai dua lagi anak dan mendakwa salah seorang daripadanya, perempuan, diculik dan masih hilang serta seorang lagi, lelaki, telah meninggal dunia kerana ibunya mencurahkan air mendidih ke badannya.

Tiada bukti yang dapat menyokong kenyataannya itu.

Liu Mingju

Dia turut memberitahu bahawa dia perlukan anak yang ramai untuk membantu mencari anak perempuannya yang hilang.

Berikutan keputusan mahkamah, anak sulungnya diarahkan untuk tinggal bersama datuk dan neneknya manakala lima yang lain akan ditempatkan di rumah anak yatim tempatan.

Pada Ogos, jiran-jiran Mingju menelefon pihak polis apabila mereka menemui anak keempatnya, yang berusia empat tahun terikat di katil di rumahnya.

Kanak-kanak lelaki tersebut mengadu bapanya sering mengikatnya dan adik-beradiknya yang lain di katil.

"Kadang-kadang dia menggantung dan memukul kami tanpa belas kasihan," katanya kepada pearvideo.com.

Pihak berkuasa kampung memfailkan saman terhadap Mingju, yang pernah berkhidmat dalam tentera selama tiga tahun kerana penyalahgunaan dan polis telah menahannya, tetapi membebaskannya selepas 10 hari bagi membolehkan dia menjaga isterinya.

Mingju juga mengaku bahawa dia telah menyewakan anak-anaknya kepada kumpulan jenayah bagi mendapatkan bayaran antara 400yuan (RM240) dan 5,000yuan (RM3,000) setahun.

Kumpulan tersebut akan membuat sewaan ketika mereka masih bayi dan biasanya 'menyimpan' mereka sehingga berusia lima atau enam tahun.

Mingju juga berkata kumpulan jenayah itu mahu menyewa kanak-kanak kerana penjaga keselamatan kurang memberi perhatian kepada pelanggan kanak-kanak.

Jirannya berkata Mingju tidak pernah memasak untuk anak-anaknya dan hanya memberi mereka makan mi segera.

Anak keempatnya memberitahu pearvideo.com bahawa dia dan adik-beradiknya sering tinggal di jalanan dan tidur di dalam kotak kertas.

Sejak tahun lepas, kerajaan telah memberikan elaun bulanan sebanyak 252 yuan (RM151) untuk setiap anak.

Mingju berkata dia begitu gembira kerana anak-anaknya akan dihantar ke rumah anak yatim tetapi berharap kerajaan akan terus memberikan elaun itu. -The Star/SCMP

Tags / Kata Kunci: sewa anak , penjenayah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan