Kasihan! Wanita sedang 'ambil angin' atas jambatan dihumban dalam sungai oleh lelaki tak dikenali - Berita Dunia | mStar

Kasihan! Wanita sedang 'ambil angin' atas jambatan dihumban dalam sungai oleh lelaki tak dikenali

Diterbitkan: Jumaat, 5 Oktober 2018 11:05 AM

(Ubah saiz teks)

DALAM satu rakaman video tular yang kejam dan pelik, seorang lelaki yang sedang berjalan kaki telah bertindak mengangkat dan mencampak seorang wanita yang sedang 'ambil angin' di atas jambatan ke dalam sungai.

Menurut laman web Guangxi Daily yang memuat naik video rakaman kamera pengawasan insiden itu di laman Weibo mereka, kejadian berlaku di Nanning pada Selasa.

Menerusi video itu, dapat dilihat seorang lelaki yang berpakaian hitam sedang berjalan di laluan pejalan kaki jambatan.

Dalam masa yang sama seorang wanita muda sedang berdiri sambil merenung ke arah Sungai Yong dari atas jambatan.

Tanpa sebarang amaran, lelaki itu tiba-tiba mengangkat dan membuang wanita itu ke dalam sungai sebelum meneruskan perjalanannya.

Insiden tersebut dilaporkan di balai polis Nanning Qingxiu sekitar pukul 7 malam.

Pegawai bertugas mendapati lelaki itu telah ditangkap oleh sekumpulan orang awam di tempat kejadian. Suspek kemudian ditangkap.

Mangsa Wei, 19, diselamatkan dengan bantuan orang ramai dan dibawa ke hospital tempatan.

Berdasarkan komen di Weibo, dia hanya mengalami kecederaan pinggang dan tulang belakang tetapi tidak berada dalam keadaan kritikal.

Bercakap dengan sebuah stesen televisyen tempatan, dia berkata bagai tidak percaya dan sukar untuk bertindak dengan tindakan pantas penyerang.

Netizen meninggalkan komen, dengan ada yang menyatakan bahawa mereka kini takut untuk berada di atas jambatan.

Ada juga menyarankan agar suspek dihukum dengan hukuman berat kerana cubaan membunuh.

Tags / Kata Kunci: jambatan , Sungai Yong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan