Pelanggan lambat buka pintu, penghantar UberEats 'kantoi' makan makanan dipesan - Berita Dunia | mStar

Pelanggan lambat buka pintu, penghantar UberEats 'kantoi' makan makanan dipesan

Diterbitkan: Khamis, 4 Oktober 2018 9:14 AM

-foto Hot Breakfast

(Ubah saiz teks)

SEORANG pemandu UberEats dirakam makan makanan yang dihantarnya, sambil menunggu pelanggan membuka pintu rumah.

Pemandu 'nakal' itu sampai ke rumah pelanggannya di Melbourne pada jam 6.20 petang Isnin dan menekan loceng.

Sambil menunggu pelanggan membuka pintu, dia dilihat mengintai dalam beg kertas yang sedang dipegangnya dan mengeluarkan kentang goreng.

Video ini telah dirakam oleh seorang rakan kepada hos program radio 'Hot Breakfast' Eddie McGuire, yang memberitahu pendengarnya bahawa dia sering mengesyaki budak penghantar makanan pasti menyeluk beg makanan yang dipesannya kerana makanan yang diterimanya sering 'ringan sedikit'.

McGuire semasa programnya berkata: "Ini adalah salah satu kejadian yang biasa berlaku di tempat saya di mana kadang-kadang UberEats datang hantar dan makanan anda agak ringan.

"Bagaimanapun, seorang kawan baik saya ada sistem keselamatan di rumah dan dia beritahu saya 'kamu perlu tengok yang ini'. Rakaman ini menunjukkan seorang lelaki dengan selamba makan kentang gorengnya ketika dia sedang menunggu di depan pintu."

-foto Hot Breakfast

Dia bagaimanapun bernasib baik kerana sempat menghabiskan makanan dalam mulut sebelum pelanggan membuka pintu.

Tetapi, dia tidak tahu tindakannya itu dirakam oleh kamera keselamatan.

Hos bersama McGuire, Wil Anderson bagaimanapun mempertahankan budak penghantar itu, menyatakan rasa simpatinya dengan menyatakan dia mungkin tidak mendapat bayaran yang baik dan 'jika tidak mendapat tip, dia mendapat chip'.

Ramai memberi respons terhadap video dalam talian itu, menggesa pekerja itu dipecat manakala ada juga yang berpendapat itulah cara terbaik melayan pelanggan yang malas.

Jurucakap UberEats berkata: "Kami tahu betapa pentingnya keselamatan makanan dan kami meminta rakan penghantar memberi perhatian penuh semasa proses penghantaran untuk memastikan kualiti makanan yang mereka hantar bagi pihak restoran mencerminkan standard restoran tersebut.

"Rakan penghantar menggunakan UberEats diharap dapat mematuhi garis panduan komuniti Uber Eats yang menjelaskan bahawa mereka boleh kehilangan akses ke aplikasi kerana menjejaskan tempahan.

"Kami menggalakkan pengguna aplikasi menghubungi kami berhubung sebarang masalah atau isu yang mungkin mereka hadapi dan kami akan berusaha menyelesaikannya dengan mereka." -MetroUK

Tags / Kata Kunci: UberEats , penghantar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan