Gabenor 'rasa nak lempang staf' selepas buat lawatan mengejut, jumpa 12 mayat bayi dalam kotak - Berita Dunia | mStar

Gabenor 'rasa nak lempang staf' selepas buat lawatan mengejut, jumpa 12 mayat bayi dalam kotak

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2018 9:33 AM

(Ubah saiz teks)

GABENOR Nairobi, bandar terbesar di Kenya Mike Sonko menemui 12 mayat bayi yang disumbat dalam kotak di Hospital Bersalin Pumwani.

Mayat-mayat itu dibungkus dengan beg polythene dan diletakkan dalam tiga kotak di sebuah stor. Sebuah kotak mengandungi satu mayat bayi, manakala dua lagi kotak masing-masing mempunyai enam dan lima mayat.

Sonko membuat lawatan mengejut menaiki boda boda (teksi motosikal), sekali gus memerangkap pihak pengurusan dan pekerja di hospital berkenaan.

Katanya, lawatan itu dibuat selepas muncul klip video oleh penduduk yang menunjukkan mayat diangkut dari wad.

Hospital itu telah dicemari dakwaan kes kecurian bayi, kecuaian, perkhidmatan yang buruk dan penganiayaan pesakit selama bertahun-tahun.

Susulan penemuan itu, Sonko menggantung pegawai pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah.

Pengawas perubatan Catherine Mutinda dan pegawai kanan lain tidak hadir ketika Sonko membuat serbuan itu yang turut disiarkan secara 'live' di akaun Facebooknya.

Punca kematian dan mengapa bayi-bayi itu disumbat di dalam kotak dan bukan dibawa ke bilik khas tidak diketahui.

Sumber di kemudahan tersebut berkata bayi-bayi itu mati pada hujung minggu, akibat bekasalan kuasa diputuskan.

Semasa serbuan, seorang pentadbir memberitahu Sonko hanya seorang bayi yang mati sejak Jumaat dan menjadi satu-satunya mayat yang disimpan di kemudahan itu.

"Saya telah beritahu kamu yang saya ada maklumat bahawa terdapat enam mayat di sini. Mengapa kamu beritahu saya ia hanya satu?," tanya Sonko marah.

Pentadbir itu cuba mempertahankan dirinya dengan berkata: "Penolong ketua jururawat yang beritahu saya dalam 24 jam terakhir hanya seorang bayi telah meninggal dunia. Bukan saya yang kata."

Tetapi Sonko tidak mahu mendengar alasannya.

"Jangan main-main dengan saya. Bila saya datang ke sini, saya dapat maklumat bahawa enam bayi mati hari ini. Saya tak mahu kamu buat lawak. Hormat saya."

Sonko mengarahkan pentadbir itu untuk membuka kotak lain yang tersembunyi di bawah meja. Lima lagi mayat ditemui.

"Bagaimana kamu boleh simpan mayat dalam beg polythene? Saya bukan orang bodoh datang sini naik boda boda. Ini adalah mayat manusia. Jangan buat mereka macam ni. Saya boleh lempang kamu sekarang," katanya.

Pengarah komunikasi Elkana Jacob berkata hanya enam daripada 12 mayat telah direkodkan. Selebihnya tidak didokumentasikan, menimbulkan syak wasangka.

"Semasa lawatan mengejut, gabenor juga terkejut melihat bagaimana ibu mengandung berjuang untuk mendapatkan rawatan pranatal di hospital bersalin," kata Jacob.

Sonko menggantung Mutinda, pegawai pentadbir Zadock Angahya dan George Nyadimo dan pakar bedah obstetrik James Kamau kerana dakwaan ketidakcekapan.

Seluruh lembaga pengurusan juga digantung.

"Semua yang bertanggungjawab atas kecuaian ini akan berdepan undang-undang penuh. Saya tak akan membenarkan ini berlaku kepada ibu kita. Mereka mesti bertanggungjawab untuk kematian ini," kata Gabenor.

Selepas serbuan itu, Sonko melaporkan insiden itu ke balai polis Pangani supaya siasatan dilakukan terhadap 12 bayi mati di kemudahan itu dalam sehari.

Persalinan dijalankan oleh kerajaan Nairobi. Antara 80 dan 100 bayi diserahkan di hospital setiap hari.

Bulan lepas, seorang wanita ditangkap ketika cuba mencuri bayi berusia tiga hari dari kemudahan itu.

Pada 6 Januari 2015, bayi kembar didakwa dicuri di hospital itu dan tetapi ia sebenarnya diberikan kepada satu pasangan lain. -StarKenya

Tags / Kata Kunci: Mike Sonko , mayat bayi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan