Macam filem aksi, tren dinaiki penumpang dipandu laju dengan pintu terbuka - Berita Dunia | mStar

Macam filem aksi, tren dinaiki penumpang dipandu laju dengan pintu terbuka

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2018 9:33 AM

(Ubah saiz teks)

SEBUAH tren di London dengan kelajuan 64 kilometer sejam beroperasi dengan keadaan pintunya terbuka, Sabtu lalu.

Christiano Nops merakamkan insiden itu semasa tren tersebut beroperasi di laluan Jubilee antara stesen Finchley Road dan stesen West Hampstead pada pagi Sabtu.

Dia kemudian memuat naik video tersebut di Instagram, menunjukkan sejumlah penumpang di dalam gerabak ketika insiden berlaku.

Menerusi mesej kepada Jabatan Pengangkutan London (TfL), dia menulis: "Menaiki tren di laluan Jubilee pada Sabtu, dan pemandu mungkin fikir ia okay membiarkan pintu gerabak terbuka, lebih baik daripada penyaman udara tapi tak selamat!?!"

Rakannya, Rory Brown berkongsi klip video tersebut di Twitter, dan menghantar mesej kepada TfL: "Cara baharu untuk memastikan tren sejuk pada musim panas - dengan membiarkan pintu terbuka."

Memberi maklum balas kepada seorang pengguna Twitter yang terkejut kerana tiada seorang pun menekan butang kecemasan, Brown menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya 10 pintu di satu bahagian tren terbuka.

Pada Ahad, TfL memberi respons memberitahu mereka menyedari insiden itu dan tren yang mengalami masalah itu dibawa untuk pembaikan.

"Hi Rory, kami menyedari insiden ini semalam, dan tren dibawa untuk dibaiki, dan di bawah siasatan ketika ini. Terima kasih kerana memberitahu kami.

"Mohon maaf di atas kesulitan dan berharap perjalanan anda okay," tambah TfL. - Mail Online UK

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan