Mekanik sakit gigi kayuh basikal 650km untuk sertai perlumbaan 100km, kemudian kayuh pulang 650km. Menang atau tidak? - Berita Dunia | mStar

Mekanik sakit gigi kayuh basikal 650km untuk sertai perlumbaan 100km, kemudian kayuh pulang 650km. Menang atau tidak?

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2018 10:18 AM

Kyle Messier. -foto Waterloo Region Record

(Ubah saiz teks)

SEORANG mekanik basikal baru-baru ini menyertai acara lumba basikal 100km, Big Red Gravel Run di Harrington, Quebec.

Bagaimanapun, apa yang luar biasa, Kyle Messier, 31, sanggup mengayuh sejauh 650km dari tempat tinggalnya untuk sampai ke tapak perlumbaan.

Beberapa jam selepas menamatkan perlumbaan, dia berkayuh pulang ke rumahnya di Waterloo.

Perjalanan Messier dari Waterloo ke Harrington mengambil masa selama tiga setengah hari.

Kayuhan keseluruhannya pada jarak 1,400km itu nyata berbaloi kerana dia memenangi tempat pertama dalam perlumbaan tersebut.

Selepas menjadi juara dia meraikan kemenangannya dengan makan beberapa keping piza, tidur beberapa jam di khemahnya dan kemudian memulakan perjalanan pulang yang juga mengambil masa selama tiga setengah hari.

Tetapi apa yang paling menakjubkan, Messier baru sahaja berjinak-jinak dalam perlumbaan basikal, mengalami sakit gigi ketika mengayuh tetapi akhirnya menang!

Jadi apa rahsia di sebalik kejayaan luar biasanya?

Dia nampaknya menggunakan teknik yang dikenali sebagai seni meditasi aktif untuk membantunya mencapai kemenangan hebat ini.

Bentuk meditasi ini boleh dilakukan semasa melakukan tindakan fizikal berulang, yang sesuai untuk aktiviti berbasikal.

Apabila dilakukan dengan betul, minda hanya akan difokuskan untuk melakukan tindakan fizikal semata-mata dan tanpa gangguan lain.

Semua pemikiran lain akan hilang dan anda akan berasa seolah-olah anda 'hilang ditelan masa'.

Messier juga melatih dirinya untuk memisahkan perjalanan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil secara mental.

Apabila dia tidak menumpukan perhatian kepada meditasi, dia akan cuba hanya memikirkan perkara-perkara yang dia inginkan dan tanpa ada perkara negatif lain.

Sepanjang perlumbaan, dia tidak memikirkan tentang jarak atau kesakitan serta kecederaaan kakinya, dia hanya memikirkan pizza yang akan dinikmati sebaik tiba di garisan penamat.

"Saya hanya berfikir untuk dapatkan pizza, itu saja ada di fikiran berbanding perkara lain, sambil laju mengayuh," katanya kepada The Record.

"Jika anda berfikir 'saya ada lagi 100 kilometer' keadaan menjadi lebih sukar."

Walaupun dengan pencapaiannya yang mengagumkan, Messier tetap merendah diri dan mengakui berasa penat ketika mengayuh pulang ke rumah.

Dia mendakwa tidak tahu berapa masa kayuhannya untuk perlumbaan itu kerana dia tidak ambil pusing tentangnya.

Sebaliknya, dia hanya berada di garisan penamat untuk bersorak dengan pengayuh lain.

"Saya pastinya gembira. Ia seperti 'OK ini sesuatu yang 'cool'. Saya telah lakukan apa yang saya mahu apabila datang ke sini."

Kemenangan luar biasa Messier menunjukkan betapa minda dan pemikiran yang betul itu sangat 'berkuasa'.

Apabila anda berdepan cabaran yang seolah-olah mustahil untuk dicapai, cubalah memecahkannya kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil, beri tumpuan kepada perkara-perkara positif.

Anda mungkin tidak mendapat keputusan luar biasa seperti Messier, tetapi ia pasti sedikit-sebanyak membantu!

Tags / Kata Kunci: meditasi , lumba basikal , Kyle Messier
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan