Bini di kerusi sebelah, suami lakukan serangan seksual terhadap penumpang wanita dalam pesawat - Berita Dunia | mStar

Bini di kerusi sebelah, suami lakukan serangan seksual terhadap penumpang wanita dalam pesawat

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2018 4:04 PM

-foto AP

(Ubah saiz teks)

SEORANG pengurus IT berusia 35 tahun telah disabitkan bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang sedang tidur di atas pesawat.

Prabhu Ramamoorthy yang berasal dari India dan bekerja untuk sebuah syarikat IT selama lebih dua tahun, akan dijatuhi hukuman pada 12 Disember ini oleh Hakim Daerah AS Terrence Berg, The Detroit News melaporkan.

Ramamoorthy berdepan hukuman penjara. Sekiranya dibebaskan, dia yang memegang visa pekerjaan di AS akan diusir ke India.

Keputusan itu dibuat tujuh bulan selepas dia menyerang seorang wanita berusia 22 tahun ketika dalam penerbangan Spirit Airlines dari Las Vegas ke Detroit.

Ketika itu isterinya duduk di kerusi di sebelahnya, menurut laporan itu.

Seorang hakim persekutuan di Detroit, bandar terbesar di Michigan mensabitkan kesalahan terhadap Ramamoorthy, yang tinggal di bandar Rochester Hills kerana menyerang wanita secara seksual.

Susulan perbicaraan selama lima hari, hakim mempertimbangkan kes ini hampir empat jam sebelum mensabitkan kesalahan Ramamoorthy.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sesiapa sahaja yang mengambil kesempatan daripada mangsa yang berada dalam posisi terdedah, dan kami gembira hakim mempersetujuinya," kata Peguam AS Matthew Schneider dalam satu kenyataan.

"Kami menghargai mangsa dalam kes ini kerana keberaniannya untuk bersuara," kata Schneider.

Wanita itu berkata dia duduk di kerusi tepi tingkap dan Ramamoorthy di kerusi sebelahnya, manakala isterinya duduk di kerusi tepi lorong.

Wanita itu berkata ketika dalam penerbangan dia tertidur dan apabila terjaga menyedari terdapat tangan di dalam seluarnya.

Dia juga menyedari butang seluarnya terbuka begitu juga dengan ikatan tali bajunya.

Apabila dia terbangun, lelaki itu berhenti melakukannya dan wanita itu memaklumkan seorang pembantu penerbangan, menurut laporan itu.

Ramamoorthy pada mulanya memberitahu penyiasat bahawa dia sedang tidur nyenyak dan tidak melakukan apa-apa.

Kemudian, dia memberitahu seorang agen FBI bahawa dia 'barangkali telah' membuka cangkuk coli wanita itu dan memegang payudaranya, menurut rekod mahkamah, laporan itu menambah.

Tags / Kata Kunci: serangan seksual , pesawat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan