22 maut jambatan lebuh raya runtuh tiba-tiba - Berita Dunia | mStar

22 maut jambatan lebuh raya runtuh tiba-tiba

Diterbitkan: Selasa, 14 Ogos 2018 9:39 PM

Gambar oleh REX/Shutterstock

(Ubah saiz teks)

SEKURANG-KURANGNYA 22 orang meninggal dunia termasuk seorang kanak-kanak dan lima lagi cedera parah selepas jambatan lebuh raya Itali sepanjang 200 meter runtuh.

Rakaman menunjukkan jambatan di lebuh raya A10 di Genoa itu runtuh pada 11.30 pagi waktu tempatan.

Bomba, ambulans dan polis masih berada di lokasi kejadian yang berhampiran dengan sebuah lapangan terbang.

Memetik laporan Mirror UK, Kira-kira 10 kenderaan dipercayai berada di atas jambatan itu ketika kejadian berlaku.

Keruntuhan struktur bermula dari salah satu tiang di Via Fillak dekat kawasan Sampierdarena.

Tragedi itu berlaku tidak lama selepas kejadian ribut buruk melanda dan laporan media Itali menyatakan bahawa jambatan tersebut disambar kilat.

Jambatan tersebut runtuh pada ketinggian 91 meter dari permukaan tanah. - Reuters

Pasukan bomba berusaha menyelamatkan mangsa-mangsa tragedi tersebut daripada timbunan konkrit selepas kereta dan lori jatuh pada ketinggian 300 kaki (91 meter) ke dalam sungai dan permukaan bumi.

Pasukan sistem peranti sonar dan anjing penyelamat turut terlibat dalam kru kecemasan untuk mencari dan menyelemat mangsa yang masih hidup.

Menteri Pengangkutan Itali Danilo Toninelli berkata, jambatan runtuh itu merupakan tragedi besar dan beliau mengikuti perkembangan insiden itu dengan rasa bimbang.

Seorang saksi memberitahu TV Sky Italia, dia lihat lapan atau sembilan kenderaan di atas jambatan itu ketika ia runtuh dan insiden tersebut seperti malapetaka yang dasyat.

Gambar oleh @poliziadistato.

Jambatan itu juga dikenali sebagai Polcevera Viaduct yang dinamakan selepas arkitek Riccardo Morandi.

Pembinaan jambatan tersebut adalah pada 1962 dan siap pada 1968.

Kerja-kerja pembinaan semula jambatan berkenaan pula dilakukan pada 2016.

Panjang keseluruhan jambatan itu adalah 1,100 meter dan dikatakan menjadi jambatan kabel pertama yang dibina di Eropah.

Tags / Kata Kunci: jambatan runtuh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan