Juara renang cilik maut disengat obor-obor - Berita Dunia | mStar

Juara renang cilik maut disengat obor-obor

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2018 7:57 PM

(Ubah saiz teks)

SEORANG juara renang berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika bercuti bersama keluarganya selepas disengat oleh obor-obor.

Gaia Trimarchi dari Itali yang dianggap bakal menjadi juara Olimpik mengutip cengkerang laut di pantai Pulau Sabitang Laya, Filipina pada 26 Julai lalu.

Tetapi, ketika mendayung di kawasan yang cetek pada hari terakhir percutian mereka, gadis itu tiba-tiba menjerit akibat disengat haiwan itu.

Ibu Gaia, Mannete dan ahli keluarga lain berlari untuk menyelamatkan gadis itu namun ketika berada di atas bot, kata-kata terakhir yang diungkapkannya amat meruntun hati.

"Mama, saya tidak akan ke pantai lagi. Apa yang akan berlaku ke atas saya? Mama, tolong saya."

Lebih menyedihkan, walaupun kejadian sama telah meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun seminggu sebelum itu, masih belum ada kelengkapan bantuan kecemasan disediakan di kawasan tersebut.

Gaia disahkan meninggal dunia di Hospital Caramoan Municipal kira-kira sejam kemudian kerana alahan yang serius.

Gaia dan ibunya Manette.

Ibunya berkata: "Anak saya suka mengutip kulit kerang dan dia duduk berhampiran kawasan air laut yang cetek.

"Kami amat keliru dan terkejut ketika mendengar dia menjerit kesakitan.

"Salah seorang pekerja bot memberitahu kami ada obor-obor yang menyengat anak saya.

"Tiada sesiapa di situ yang mempunyai kit kecemasan. Malah mereka menyalahkan kami kerana tidak membawa cuka jika kejadian seperti ini berlaku."

Gaia merupakan anak kepada wanita Filipina dan bapa Itali itu pernah memenangi beberapa pertandingan renang dan pingat emas di Itali.

Mangsa bercuti di tanah air ibunya ketika insiden itu berlaku.

Kata ibunya, ketika mereka berlari ke arah Gaia, kaki kanak-kanak itu sudah kebiruan. - Mirror UK

Tags / Kata Kunci: sengat , obor-obor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan