Warga emas buat IVF, nekad lahir kembar walau doktor halang - Berita Dunia | mStar

Warga emas buat IVF, nekad lahir kembar walau doktor halang

Diterbitkan: Khamis, 9 Ogos 2018 9:09 PM

-foto SCMP

(Ubah saiz teks)

SEORANG wanita berusia 67 tahun yang hamil anak kembar berkeras untuk mengabaikan nasihat doktor yang meminta kandungannya digugurkan atas kebimbangan kesihatan, menurut akhbar tempatan.

Wanita berkenaan, Zhang, dari China berkata dia nekad untuk terus hamil kerana dia telah kehilangan anak lelakinya yang terbabit dalam satu kemalangan empat tahun lalu, menurut laporan The News Beijing, Rabu.

Zhang, yang akan menjadi salah seorang wanita tertua yang pernah melahirkan bayi diberi amaran bahawa tekanan darah tinggi dan umurnya akan menjadikan kehamilannya sangat berisiko dan kandungan kembarnya hanya menimbulkan bahaya.

Tetapi dia memberitahu akhbar itu bahawa dia dan suaminya rindu untuk mempunyai anak lagi selepas anak tunggal mereka meninggal dunia ketika berusia 34 tahun.

"Saya tak dapat tidur tanpa pil tidur selama bertahun-tahun. Saya pernah mempunyai impian untuk mengajar cucu-cucu saya, tetapi semuanya musnah selepas kemalangan itu," kata Zhang.

Ketika anaknya dilahirkan pada 1980, dasar seorang anak di China masih berkuatkuasa. Ia hanya dimansuhkan pada tahun 2015.

Selepas kematian anaknya, Zhang dan suaminya cuba mengambil anak angkat tetapi gagal kerana usia mereka, kata laporan itu.

Tahun lepas, pasangan itu memutuskan untuk menjalani persenyawaan in vitro (IVF) dan menemui sebuah hospital di Taiwan yang bersedia melaksanakan prosedur itu yang dibuat pada Jun tahun ini.

Selepas Zhang pulang dari Taiwan, dia mahu mendapatkan penjagaan perkembangan pranatal iaitu proses gestasi embrio atau janin manusia dari persenyawaan hingga kelahiran di Baodao Healthcare, sebuah hospital bersalin di Beijing.

Tetapi hospital itu tidak mahu mengambil kes kehamilan yang berisiko tinggi, jadi mereka memindahkannya ke Peking University Third Hospital.

Li Shilan, doktor yang merawat Zhang di hospital tersebut juga menganggap dirinya terlalu berisiko untuk melahirkan bayi.

Zhang berkata seorang lagi doktor kanan di hospital mereka menasihatkan agar dia memlakukan pengguguran tetapi dia enggan.

Zhang memberitahu akhbar bahawa nasihat itu membuatnya berasa seperti seorang penjenayah yang dikehendaki.

"Tiada siapa yang peduli terhadap saya apabila saya kehilangan anak tunggal saya, jadi saya mendapat jalan keluar sendiri, tetapi anda menyekat saya lagi.

"Saya tidak begitu kaya, tetapi saya bersedia untuk menjaga seorang kanak-kanak dan saya percaya saya boleh hidup hingga 85 tahun untuk melihat anak saya dewasa.

"Kalau saya tak mampu sekali pun, anak saudara saya, yang berusia kira-kira 40 tahun dapat membantu membesarkan anak saya. Mempunyai anak adalah segalanya bagi saya," tambahnya.

Seorang profesion perubatan yang tidak dikenali, memberitahu akhbar bahawa undang-undang Cina tidak menetapkan had usia untuk mengandung, tetapi kumpulan profesional telah merangka cadangan untuk berbuat demikian.

Wanita Cina tertua yang bergelar seorang ibu ialah Sheng Hailin, yang melahirkan anak kembar ketika umurnya 62 tahun pada 2010. -South China Morning Post (SCMP)

Tags / Kata Kunci: kembar , IVF
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan