Jawa Timur larang pelajar diberi kerja rumah - Berita Dunia | mStar

Jawa Timur larang pelajar diberi kerja rumah

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2018 2:42 PM

(Ubah saiz teks)

PELAJAR di bandar Blitar, Jawa Timur boleh tersenyum lebar apabila pentadbiran sekolah tempatan secara rasmi melarang guru memberi mereka kerja rumah.

Agensi pendidikan bandar itu berkata, ia mahu pelajar menjalani kehidupan lebih berkualiti bersama keluarga.

Blitar terletak kira-kira 70 kilometer dari kota Malang yang sering dikunjungi pelancong.

"Kami akan mengeluarkan pekeliling mengenai larangan itu dalam masa terdekat.

"Sepatutnya pelajar menimba ilmu dengan mendekati masyarakat kerana ketika ini, ramai pelajar yang tidak tahu membezakan antara daun salam dan daun kunyit. Ini semua hanya boleh dipelajari apabila mereka dikelilingi keluarga," kata ketua agensi berkenaan, M.Sidik seperti dipetik kompas.com.

Tambahnya, dengan dasar itu, pelajar dijangka dapat terlibat dengan kegiatan positif  di luar waktu sekolah seperti memasak.

Agensi berkenaan juga menggalakkan pengetua sekolah menengah rendah di bandar itu mengetepikan kerja rumah sejak menguatkuasakan dasar lima hari sekolah tahun lalu.

Bagaimanapun, majoriti guru tidak menghiraukan arahan itu.

Blitar bukan bandar pertama melarang pelajar diberi kerja rumah. Pada 2016, pentadbiran Purwakarta di Jawa Barat juga melaksanakan dasar sama.


Tags / Kata Kunci: Blitar , Malang , kerja rumah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan