Feri karam, 34 mayat ditemui - Berita Dunia | mStar

Feri karam, 34 mayat ditemui

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2018 10:42 PM

Insiden Feri KMP Lestari Maju terbalik di perairan Selayar dalam wilayah Sulawesi Selatan pada Selasa. Foto AP

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Pasukan penyelamat menemui sejumlah 34 mayat dan berjaya menyelamatkan 155 mangsa yang masih hidup dalam insiden sebuah feri terbalik sebelum karam di perairan Indonesia tengah pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap pejabat pasukan menyelamat dan mencari nasional, Marsudi, pada Rabu berkata, misi pencarian tidak akan dihentikan buat masa ini kerana terdapat kemungkinan ada mangsa yang hilang.

Menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan, jumlah orang yang berada di atas feri malang itu ialah 189.

"Terdapat kemungkinan bahawa mangsa lain tidak dicatat dalam senarai itu. Kami tidak boleh mengesahkan angka sebenar. Kadangkala jumlah sebenar penumpang melebihi apa yang dicatat," kata Marsudi kepada Xinhua.

"Misi mencari dan menyelamat mangsa akan dilakukan secara konsisten selama tujuh hari selaras dengan prosedur rasmi," katanya.

Dalam insiden itu, Feri KMP Lestari Maju, yang menuju Pulau Selayar, terbalik pada pukul 2.30 petang waktu tempatan di perairan Selayar dalam wilayah Sulawesi Selatan pada Selasa, hanya 300 meter dari sebuah pelabuhan di pulau itu, menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan.

Feri itu turut memuatkan 48 kereta dan motosikal selain penumpang dan anak kapal, kata Ketua Pengarah bagi Pengangkutan Laut di Kementerian Pengangkutan, Agus Purnomo, kepada Xinhua.

Melakukan perjalanan dengan feri atau bot adalah cara pengangkutan yang paling digemari di negara yang kaya dengan gugusan pulau-pulau itu.  

Bagaimanapun, ketiadaan piawaian keselamatan sering mencetuskan insiden di laut.  

Insiden tragik itu berlaku selang beberapa hari selepas sebuah feri yang didakwa membawa muatan lebih karam di Danau Toba dalam wilayah Sumatera Utara, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya empat orang manakala hampir 200 lagi masih hilang. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan