Penjenayah paling dikehendaki bolos penjara guna helikopter - Berita Dunia | mStar

Penjenayah paling dikehendaki bolos penjara guna helikopter

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2018 8:53 AM

(Ubah saiz teks)

SEORANG pencuri 'berkaliber' yang pernah menjadi penjenayah paling dikehendaki di Perancis berjaya melarikan diri dari penjara pada Ahad dengan menggunakan helikopter.

Redoine Faid, 46, lari dari penjara di Reau yang terletak di kawasan pinggir bandar hanya dalam beberapa minit dengan bantuan beberapa lelaki bersenjata.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku selepas mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas Faid kerana menjadi dalang rompakan bersenjata pada Mei 2010.

Lapor News18, seorang polis wanita terbunuh dalam rompakan tersebut.

Faid lari pada Ahad dengan tiga rakan subahatnya dan helikopter yang digunakan mereka dijumpai di sebuah kawasan pinggir bandar Paris.

Pihak polis telah melancarkan pencarian di seluruh wilayah ibu negara Perancis itu untuk menangkap suspek.

Kejadian itu merupakan kali kedua Faid berjaya melepaskan diri dari penjara.

Pada 2013, dia melarikan diri dari sebuah penjara di utara Perancis dengan menggunakan bom.

Dia disumbat masuk ke penjara sejak pertengahan 2011 kerana melanggar parol bagi beberapa siri rompakan.

Dengan bersenjatakan pistol, Faid menawan empat pengawal keselamatan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang sedang menunggunya di sebuah kawasan.

Bagaimanapun, semua tebusan itu dilepaskan tanpa dicederakan.

Tags / Kata Kunci: penjara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan