Penumpang bengang kencing di lantai, gambarkan penerbangan mereka 'macam neraka' - Berita Dunia | mStar

Penumpang bengang kencing di lantai, gambarkan penerbangan mereka 'macam neraka'

Diterbitkan: Khamis, 14 Jun 2018 12:27 PM

(Ubah saiz teks)

SEORANG penumpang yang terbang dengan Tigerair Australia antara Sydney dan Melbourne mengecam syarikat penerbangan itu yang digambarkan sebagai 'penerbangan dari neraka'.

Polis terpaksa dipanggil untuk berurusan dengan beberapa penumpang yang tidak dapat dikawal dengan seorang penumpang bertindak kencing berhampiran pintu pelepasan, kata penumpang itu kepada Daily Mail Australia.

Ia berlaku selepas salah satu penerbangan penerbangan tambang murah itu ditangguhkan selama enam jam.

Penerbangan TT263 pada 8 Jun dijadualkan berlepas pada pukul 5.25 petang, tetapi pesawat Boeing 737 itu tidak meninggalkan Sydney sehingga jam 11.26 malam.

Penumpang itu, yang tidak mahu dinamakan berkata kelewatan itu menyebabkan ramai penumpang bengang dan bertindak agresif.

"Polis berada di situ ketika orang ramai berteriak dan membuang sampah.

"Mereka berteriak 'beritahu saja apa yang sedang berlaku supaya kami boleh mendapatkan penerbangan lain'. Seorang lelaki berkata dia terlepas mesyuarat yang menelan kos $30,000.

"Seseorang kemudian kencing di lantai kerana lapangan terbang Sydney ditutup. Bilik mandi sedang dibersihkan."

Lapangan Terbang Sydney ditutup dari pukul 11 ​​malam hingga 4 pagi atas perintah kerajaan tetapi Daily Mail Australia difahamkan tandas boleh digunakan pada waktu itu.

Seorang lagi penumpang menulis di laman Facebook Tigerair Australia, waktu berlepas sentiasa ditunda dan menggambarkan kelewatan itu sebagai 'bencana'.

"Kemas kini terakhir adalah pelepasan pada 9.45 malam, dan kini penumpang marah, kecewa dan tak puas hati kerana kami semua masih menunggu tanpa sebarang kemas kini.

"Cara penerbangan ini dikendalikan sangat melampaui batas dan memalukan."

Jurucakap Tigerair Australia berkata penerbangan itu ditangguhkan kerana isu kejuruteraan.

"Kami faham bahawa kelewatan boleh mengecewakan pelanggan kami dan kami berusaha keras untuk memastikan sebarang gangguan dapat dikurangkan," kata jurucakap itu.

"Selanjutnya, keselamatan para pelanggan dan kru adalah keutamaan nombor satu kami dan kami sentiasa menegakkan piawaian keselamatan tertinggi operasi kami pada setiap masa."

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan