Beg LV punya pasal, mati pun tak apa! - Berita Dunia | mStar

Beg LV punya pasal, mati pun tak apa!

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2018 10:56 AM

(Ubah saiz teks)

SEORANG lelaki menunjukkan bahawa dia lebih rela mati daripada kehilangan beg kesayangannya.

Jerad Kluting sedang berjalan-jalan di Holland Township, Michigan dan didatangi seorang perompak bertopeng, mengeluarkan pistol dari pinggangnya dan meminta begnya diserahkan.

Tetapi beg tersebut bukan beg biasa. Ia berjenama Louis Vuitton, berharga AS$1,700 yang mana Kluting jatuh cinta pertama kali melihatnya.

Dia telah menyimpan wang untuk jangka masa yang lama semata-mata mahu memiliki beg tersebut dan tidak akan memberikannya kepada orang yang tidak dikenali walaupun nyawanya dalam bahaya.

"Ia berlaku sangat pantas. Dalam satu gerakan, dia mengambil pistol dari pinggangnya mengarahkan saya menyerahkan beg," kata Kluting kepada WOOD TV.

"Saya beritahu dia 'saya sama sekali tak akan serahkan beg Louis Vuitton ini. Saya bekerja keras untuk ini dan ia begitu bermakna kepada saya. Saya tak akan biarkan orang jahat mengambilnya'," katanya.

Perompak itu tidak menghiraukan apa yang dikatakan Kluting dan melepaskan satu tembakan amaran untuk menunjukkan dia serius mahukan beg itu.

Tetapi tembakan nampaknya tidak cukup untuk menakutkan pemiliknya, yang terus memegang erat beg tersebut.

"Dia melepaskan tembakan kedua. Dan kemudian saya terus cabut lari," kata Kluting.

"Kemudian saya mendengar tembakan ketiga dan sebenarnya terdapat empat tembakan. Tembakan ketiga menakutkan kerana saya mendengarnya di belakang saya," katanya.

Kluting menghubungi polis sebaik sahaja perompak itu tidak dapat dilihat dan tidak lama kemudian perompak berusia 21 tahun itu ditangkap.

Bagi Kluting, dia gembira masih hidup dan masih dapat menggayakan beg mahalnya.

Tags / Kata Kunci: beg LV , perompak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan